Ju Pha dan Amirul Anuar menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara scratch pada Sukan Malaysia di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR- Pelumba basikal trek negara, Ju Pha Som Net menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Perlis selepas memenangi acara scratch wanita pada Sukan Malaysia di Velodrom Cheras, semalam.
Ju Pha, yang akan mewakili negara pada Sukan Komanwel Remaja September depan, mencatat masa 18:4.367s, mengenepikan pencabarnya dari Terengganu, Zahraa Anuawar 18:4.695s yang meraih perak, manakala gangsa milik Nurul Ahmar Badeuzzaman (Selangor) dengan masa 18:4.985s.
Menurut Ju Pha, 18, strategi yang digunakannya adalah kekal berada dalam kelompok besar pelumba, sebelum keluar pada 200 meter terakhir dengan melakukan pecutan yang meninggalkan pencabarnya.
"Saya tidak mahu membazir tenaga. Apa yang saya lakukan ialah berada dalam kumpulan dan yakin bahawa saya mampu memenangi pingat emas.
"Saya berjaya selepas tiga kali mengambil bahagian pada Sukan Malaysia," katanya ketika ditemui media selepas perlumbaan semalam.
Acara lelaki pula dimenangi oleh pelumba Negeri Sembilan, Amirul Anuar Jafri yang mencatat masa 22:22.147s, ia juga adalah pingat emas pertama kontinjen tersebut, manakala perak diraih pelumba Kelantan Mohammad Al-Ghazali Ab. Hamid (22:23.242s), Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri dari Terengganu meraih gangsa (22:23.242s).
"Saya memilih strategi untuk keluar awal dan akhirnya ia membuahkan hasil. Saya gembira dengan pingat emas yang dimenangi sekurang-kurangnya ia memadam kekecewaan saya pada Sukan Malaysia tahun lepas," kata pelumba pelapis negara itu.
Sementara itu dalam acara kejar mengejar lelaki, pasukan Negeri Sembilan yang diwakili, Abdul Rashid Ibrahim, Amirul Anuar Jafri, Mohammad Fairet Rusli, Mohd Ekbar Zamanhuri meraih emas apabila mencatat masa 4:55.360s.
Perak diraih kuartet Johor, Mohamad Al Azani Zainal, Mohamad Azrul Taufiq Annuar, Mohd. Azami Senan Joh, Muhamad Asyraf Bin Misnan dengan masa 4:56.13s, manakala gangsa milik pasukan Kedah yang dianggotai Ahmad Firdaus Abd. Karim, Amirun Asraf Abdullah, Mohd. Faiz Ibrahim, Mohd. Zul Asraf Zamla (4:56.772s).
Bagi acara wanita, emas milik pasukan Terengganu melalui trio mereka, Nur Ain Mahmood, Ummi Hamimah Mohamad dan Zahraa Anuawar selepas mencatat masa 4:13.6s, manakala perak diraih Selangor, Nur Farah Ain Amran, Nursyahmira Anis Saidi Ahmad, Nurul Ahmar Badeuzzaman (4:22.6s).
Kedah yang diwakili pelumba, Aishah Puteh, Mardiana Mohd. Radzi, Nur Izzati Ismail (4:23.0s) sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.
No comments:
Post a Comment