24 Jun 2011
KUALA LUMPUR - Misi Malaysia untuk mencari tiga kejuaraan pada Kejohanan Skuasy Remaja Asia berada di landasan terbaik apabila memiliki wakil pada separuh akhir dalam enam daripada lapan kategori di Amman, Jordan semalam.
Malah, pemain negara mendominasi tiga daripada empat tempat di separuh akhir kategori bawah 15 tahun lelaki dan bawah 13 tahun perempuan. Dua acara yang gagal menempatkan wakil kita adalah bawah 19 dan 17 tahun lelaki.
Malaysia sudah mengesahkan sekurang-kurangnya satu tiket final bawah 15 tahun lelaki selepas Darren Chan dan Mohd. Syafiq Mohd. Kamal menempah pertemuan sesama sendiri, manakala Ng Eain Yow mampu memastikan kejuaraan milik negara jika berjaya menundukkan Tsun Hei Yuen dari Taiwan di separuh akhir.
Semalam, Syafiq dipaksa berhempas pulas untuk mengetepikan pemain India, Yohan Pandole 11-9, 7-11, 12-10, 11-4, manakala Darren tidak menghadapi banyak masalah membenam Sandeep Ramachandran juga dari India 11-9, 11-6, 11-7.
Terdahulu, Eain Yow mengalahkan rakan senegara Yohan dan Sandeep, Aishwarya Singh 11-6, 11-7, 11-9.
Malaysia turut mempamer dominasi dalam saingan bawah 13 tahun perempuan, diketuai pilihan pertama, S. Sivasangari yang bangkit daripada ketinggalan sebelum mengetepikan Aishwarya Bhattacharya dari India 6-11, 11-7, 11-2, 11-3.
Sivasangari kini akan berdepan rakan senegara, Zoe Foo yang mara selepas menumpaskan pemain India, Nikita Joshi 11-6, 11-3, 11-7.
Melengkapkan kemaraan Malaysia di separuh akhir adalah Andrea Jia yang menundukkan Akansha Salunke 11-7, 11-4, 11-4.
Menantinya hari ini, Satomi Watanabe dari Jepun.
Pasukan negara juga sudah mengesahkan tiket perlawanan akhir bawah 15 tahun perempuan selepas dua pemainnya, Jadeleen Lee dan Aika Azman bertemu sesama sendiri di separuh akhir. Jadeleen, pilihan kedua mara selepas menumpaskan pemain India, Harshit Kaur 11-5, 11-5, 10-12, 11-4 manakala Aika menundukkan rakan senegara Harshit, Jui Kalgutkar 11-5, 11-3, 11-2.
Dalam kategori bawah 13 tahun lelaki, Mohd. Farez Izwan Mukhtar mengesahkan status sebagai pilihan pertama apabila mudah mengetepikan Aryaman Adik dari India 11-6, 11-4, 11-0 untuk menempah pertemuan dengan pilihan ketiga dan rakan senegara Aryaman, Ranjit Singh.
Sementara dalam bawah 15 tahun perempuan, Sue Ann Yong mengejutkan pilihan kedua, Tze Lok Ho dari Hong Kong 12-10, 5-11, 8-11, 11-4, 13-11 dan bakal berdepan Saumi Karki dari India, yang terdahulu mara selepas menyingkirkan seorang lagi pemain negara, Rachel Mae Arnold 11-9, 12-10, 11-7.
Tan Yan Xin meneruskan kemaraan Malaysia dalam kategori bawah 19 tahun perempuan selepas menundukkan Yu Ra Choe dari Korea Selatan 11-6, 13-11, 11-5 bagi menempah pertemuan dengan Anaka Alankamony dari India.
No comments:
Post a Comment