Tuesday, June 14, 2011

Ju Pha tunggu lampu hijau Beasley



Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Ju Pha Som Net beraksi cemerlang dalam acara berbasikal trek Sukan Malaysia XIV Kuala Lumpur 2011 yang berakhir minggu lalu.

KUALA LUMPUR – Selepas dinobatkan sebagai Olahragawati Sukan Malaysia XIV, atlet berbasikal negara, Ju Pha Som Net masih sedia menunggu perancangan daripada ketua jurulatih negara, John Beasley sama ada dia akan dibawa berlatih ke Melbourne atau sebaliknya.

Menurut pelumba kelahiran Perlis itu, semuanya terpulang kepada Beasley yang akan kembali ke Malaysia dalam masa terdekat dan berbincang mengenai masa depannya, sama ada terus berlatih di dalam negara ataupun ke luar negara.

“Saya sekarang ini mengikut segala program yang diaturkan oleh Beasley, sebelum ini dia menyuruh saya memberi tumpuan kepada acara pecutan dan sekarang mempersiapkan diri untuk acara jarak jauh seperti, perlumbaan mata dan scratch,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Ju Pha berjaya meraih empat emas di Sukan Malaysia tahun ini dalam acara scratch, perlumbaan mata, 3 kilometer individu kejar mengejar dan individu pecut manakala bagi acara keirin, dia hanya meraih perak tetapi ia sudah cukup untuk membolehkannya meraih anugerah olahragawati.

Jelasnya, dia tidak menyangka akan dipilih sebagai olahragawati selepas mendengar cerita sebelum ini ada atlet dari acara kanu yang meraih enam emas tetapi semua ini akan menaikkan semangatnya menjelang Sukan Remaja Komanwel yang akan disertainya September ini.

“Saya tidak mahu memikirkan peluang saya pada Sukan SEA, ia masih terlalu awal, setakat ini saya hanya mempersiapkan diri untuk Jelajah Vietnam dan Sukan Komanwel Remaja tetapi jika saya terpilih ke Sukan SEA ia amat menggembirakan saya.

“Setakat ini semuanya pertama kali dalam hidup saya, pertama kali menang sehingga empat emas di Sukan Malaysia, pertama kali dipilih menjadi olahragawati serta bertanding ke Sukan Komanwel Remaja dan Sukan SEA (jika terpilih),” kata pelumba berusia 18 tahun itu.

Ju Pha juga mahu menghadiahkan anugerah olahragawati itu kepada bapanya, Som Net Lim yang tidak jemu-jemu memberi sokongan padu kepadanya, malah sanggup datang dari Perlis untuk melihat kejayaan anaknya di Velodrom Cheras, di sini.

“Dia (bapa) sanggup datang dari jauh dengan perbelanjaan sendiri, sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada saya kerana sebelum ini saya hanya mensasarkan untuk memenangi tiga pingat emas sahaja.

“Saya juga tidak berasa tertekan dengan kejayaan ini, saya berasa lebih bangga dan akan berlatih seperti biasa, sudah tentu saya akan bekerja dengan lebih keras untuk mengharumkan nama negara pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment