
8 Jun 2011
JU Pha Som Net (kuning hitam) gagal menyaingi Ummi Hamimah Mohamad (depan) dalam final keirin wanita di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Berakhirnya acara trek berbasikal Sukan Malaysia XIV di Velodrom Cheras semalam, skripnya Ju Pha Som Net layak digelar ratu trek, manakala Terengganu muncul pasukan terbaik keseluruhan dengan menggondol empat pingat emas, dua perak dan empat gangsa.
Ju Pha menambah satu emas menerusi acara ujian masa 500 meter tetapi gagal menyapu emas kelima dalam keirin , sekali gus menggondol empat emas dan satu perak keseluruhan.
“Mungkin bukan rezeki saya, lagi pun saya sudah penat dan tidak ada peluang untuk berada di depan kerana Terengganu mempunyai dua pelumba bagi memudahkan mereka menguasai acara keirin akhir.
“Bagaimanapun saya tetap gembira melepasi sasaran tiga emas apabila meraih satu lagi dalam ujian masa 500m,” kata pelumba kelahiran Chuping itu yang sebelum ini meraih emas dalam scratch, 3 kilometer individu kejar-mengejar dan pecut.
Terengganu berjaya meraih emas keempat menerusi pelumba wanita sensasi, Ummi Hamimah Mohamad dalam acara keirin, membuktikan mereka punya kemampuan seimbang - lelaki dan wanita.
Sebelum ini, Ummi bersama Nur Ain Binti Mahmood dan Zahraa Binti Anuawar menyumbang pingat emas berpasukan kejar-mengejar. Ummi dan Zahraa juga meraih emas pecut berpasukan.
Hari terakhir semalam turut menyaksikan Selangor menambah emas dalam 1 km ujian masa individu lelaki, menerusi Muhammad Elmi Jumari selepas mencatat 1:09.854s, mengenepikan Muhd. Arfy Qhairant Amran (Melaka) 1:10.127s, manakala gangsa milik pelumba Pahang, Ahmad Fakrullah Alias (1:10.148s).
Bagaimanapun, Arfy menebus kekecewaan menerusi emas keirin, walaupun dicabar hebat oleh Mohamad Fakhruddin Daud dari Johor.
No comments:
Post a Comment