20 Jun 2011
KUALA LUMPUR - Tiada sebarang sasaran pingat diletakkan Malaysia pada Kejohanan Angkat Berat Remaja Dunia yang bermula di Pulau Pinang, Ahad ini, namun semua peserta negara diingatkan agar memberi aksi terbaik kerana kejohanan itu bakal dijadikan platform untuk memilih atlet ke Sukan SEA di Indonesia, 11-22 November ini.
Dengan kehadiran peserta handalan dari China, Kazakhstan, Rusia dan Iran, badang muda Malaysia hanya memasang misi untuk memperbaiki rekod peribadi sambil cuba memecah rekod kebangsaan.
Cabaran negara pada kejohanan 26 Jun hingga 7 Julai itu bakal diperkuatkan oleh 15 peserta, lapan lelaki dan tujuh perempuan, dengan misi utama adalah melakar pencapaian terbaik dan cuba untuk mencari tiket Sukan SEA.
“Standard Kejohanan Remaja Dunia sangat tinggi, malah ada antara peserta dari negara utama lain pernah beraksi dalam kejohanan antarabangsa peringkat senior, termasuk Kejohanan Dunia.
“Kita cuma berharap atlet negara dapat memberi saingan terbaik dengan menjadikan kelayakan Sukan SEA di Indonesia sebagai motivasi, malah kita harap mereka dapat menggunakan peluang bersaing dengan jaguh handalan dunia untuk berusaha memperbaiki catatan masing-masing,’’ kata Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.
Dalam saingan lelaki, Mohd. Anas Malik Mokhtar dan Zulhelmi Md Pisol bakal membawa cabaran kategori 56 kilogram, Mohd. Dinie Akmal Md Lazat serta Mohd. Fadli Ahmad Atlet dalam 62kg, Khairul Asnawi Khairul Kassim (69kg), Kenneth Cory Dominic (77kg), manakala Elisha Louis Tan Kim Hoo dan Khoo Jian Peng masing-masing dalam 105kg.
Juara Sirkit Kebangsaan Pertama, Khairani Abdul Malik, 18, mengetuai cabaran Malaysia dalam saingan perempuan, beraksi bawah kategori 63kg bersama Norsahida Abdul Halim, manakala Azizah Fadzil bertanding dalam 48kg, Frenceay Titus (58kg), Intan Ayuni Abdullah dan Norkhasida Abd Halim Atlet (69kg) serta Nurul Hatimi Azmi (75kg).
No comments:
Post a Comment