24 Jun 2011
Oleh Wan Noriza Meor Idris
wannoriza@nstp.com.my
MAJLIS Sukan Negara (MSN) hakikatnya memuji semangat serta dedikasi gimnas negara, Mohd Irwan Miskob yang ingin terus menabur bakti bersama skuad negara walaupun dirinya mempunyai masalah usia yang dikatakan lanjut.
Ada juga dakwaan mengatakan permohonan gimnas itu untuk terus kekal berada dalam program MSN langsung tidak disebut dalam mesyuarat jawatankuasa antara badan induk itu bersama Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF).
Malah, MGF dikatakan berdepan kemelut dalaman hingga tempiasnya terkena kepada gimnas itu.
Namun, Pengarah Cawangan Elit Bahagian Atlet MSN, Arrifin Mohd Ghani berkata, pihaknya menerima permohonan Irwan dan perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa MSN bersama MGF.
“Perkara itu ada dibincangkan namun punca kepada namanya gagal diselitkan dalam program kami adalah disebabkan usianya bukan atas dihalang pihak tertentu.
“Kami menyambut baik langkah Irwan meneruskan perjuangannya sebagai gimnas kebangsaan malah tindakannya itu harus menjadi contoh kepada atlet lain.
“Tapi, MGF mahupun MSN sedang dalam proses pembangunan menyeluruh meninjau peluang melahirkan atlet berwibawa menjelang 2016 dan atas dasar itu kami cenderung untuk hanya memilih gimnas atau atlet lebih muda daripadanya yang kini berusia 28 tahun,” katanya semalam.
Selasa lalu, Arena Metro, melaporkan Irwan kecewa apabila harapan untuk layak ke Sukan Sea, Palembang Disember ini bagaikan dihalang apabila rayuannya untuk terus berada dalam program MSN ditolak. Justeru, gimnas itu nekad mengundur diri buat sementara. sehingga seorang daripada ‘orang atasan’ MGF bersara. Arrifin berkata, MSN peka terhadap potensi Irwan dan berharap atlet itu kekal menjalani latihan meskipun namanya tidak tersenarai dalam program MSN.
“Jika Irwan berjaya melepasi had kelayakan pada 26 hingga 27 Julai ini, kami tidak teragak-agak menghantarnya ke Sukan Sea, Palembang, Disember ini.
“Malah, faktor keselamatan dibimbangkan Irwan bukanlah isu utama kerana MSN akan mempertimbangkan segala perbelanjaan mahupun menampung perbelanjaan kecederaan dan penginapan kerana menganggapnya sebagai bekas atlet.
“Mustahil untuk kami membiarkannya terumbang ambing, pastinya MSN akan membantunya dari segi kebajikan,” katanya.
Arrifin juga tidak menafikan khidmat atlet itu diperlukan kerana pihaknya mahupun MGF ketandusan gimnas berpotensi. seperti di zaman kegemilangan Ng Shu Wai.
“Memang Irwan gimnas senior tunggal selepas rakan seangkatannya menarik diri seorang demi seorang bermula dengan Shu Wai.
“Ketika ini, kami ingin menutup jurang itu dan menaikkan semula zaman kegemilangan gimnastik artistik lelaki seperti lima tahun lalu. Kerana itulah, kami lebih menumpukan kepada gimnas muda tapi dalam masa sama memerlukan pengalaman Irwan,” katanya.
No comments:
Post a Comment