Wednesday, June 8, 2011

JU PHA RATU TREK SUKMA XIV

KUALA LUMPUR (8 Jun 2011) - DENGAN empat emas dan satu perak peribadi, pelumba basikal trek Perlis, Ju Pha Som Net dianggap pelumba paling unggul pada temasya Sukan Malaysia 2011 Kuala Lumpur selepas berakhir acara berbasikal trek di Velodrom Kuala Lumpur di Cheras, semalam.

Ju Pha, pelumba trek kebangsaan yang digilap menerusi program khas Persatuan Berbasikal Negeri Perlis pada 2004, mengutip emas terakhir dalam acara 500 meter ujian masa individu wanita semalam, selepas memenangi Perlumbaan Scratch, 3,000 meter kejar-mengejar individu dan 200 meter Pecut sebelum ini.

Pelumba 18 tahun itu terlepas peluang untuk memungut emas terakhir apabila memenangi perak dalam acara Keirin selepas dikecewakan pelumba Terengganu, Ummi Hamimah Muhamad dalam perlumbaan final yang menutup tirai acara berbasikal trek.

"Saya berpuas hati dengan kemenangan dalam acara ujian masa tetapi terkilan kerana tewas kepada pelumba Terengganu pada acara Keirin. Strategi saya tidak menjadi kerana Terengganu mempunyai dua pelumba dalam final dan mudah bagi mereka mengatur strategi apabila seorang pelumbanya menghalang pelumba lain," katanya.

Bantahan kontinjen Perlis kepada Komisar tidak diterima, tetapi dengan pencapaian cemerlang meraih empat pingat emas dan satu pingat perak itu, Ju Pha wajar dianggap Ratu Trek pada temasya Sukma kali ini.

Kalau Ju Pha menguasai sebahagian besar acara individu wanita, senario berbeza dapat dilihat dalam acara lelaki apabila wajah-wajah berbeza berdiri di podium ketika majlis kalungan pingat.

Dalam acara 1km ujian masa lelaki, pelumba selangor Muhammad Elmi Jumari yang melakukan catatan 1:09.854 saat, meraih emas peribadinya yang pertama dan ketiga untuk Selangor selepas menewaskan pelumba Melaka, Muhd Arfy Qhairant Amran dan pelumba Pahang, Ahmad Fakrullah Alias.

Namun, Muhd Arfy bangkit untuk memenangi emas dalam acara final Keirin lelaki, selepas menewaskan pelumba Johor, Mohamad Fakhrudin Daud dan pelumba Kedah, Mohd Fatah Amri Zaid. Muhd Arfy juga juga pelumba skuad pelapis kebangsaan amat berpuas hati dapat memungut emas pertama selepas gagal di Terengganu 2008 dan Melaka 2010.
"Saya puas hati akhirnya mendapat emas hari terakhir. Walaupun hanya satu emas saja, ia sudah cukup kerana inilah pingat pertama saya sejak mula menyertai Sukan Malaysia di Terengganu," kata pelumba 18 tahun kelahiran Masjid Tanah itu.

No comments:

Post a Comment