Thursday, June 23, 2011

Berhati-hati ambil jurulatih luar

23 jun 2011
Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
sukan@utusan.com.my

KOTA BHARU - Legenda olahraga negara, Tan Sri Dr. M. Jegathesan mengingatkan semua pihak lebih berhati-hati mengambil jurulatih luar negara, yang dilihat sebagai antara punca pengambilan bahan terlarang di kalangan atlet kebangsaan.

Beliau yang juga Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, walaupun kes pengambil dadah terlarang di kalangan atlet negara tidak serius, langkah mengatasinya harus dilakukan.

Beliau berkata, antaranya termasuk mengurangkan bilangan jurulatih luar.

"Di negara ini ada satu dua kes atlet mengambil bahan terlarang tetapi keadaan masih terkawal kerana kita mempunyai mekanisme pengawalan teratur menerusi Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) yang sentiasa melakukan saringan ujian air kencing.

"Namun kita tidak nafikan ada kes jurulatih yang sangat mementingkan perolehan pingat, sehingga sanggup membekalkan bahan dan ubatan terlarang kepada atlet mereka yang mengambilnya secara sedar ataupun tidak.

"Kecenderungan sebegini yang banyak diamalkan jurulatih luar. Ia hanya akan dapat ditangani jika kita lebih berhati-hati dan berusaha mengurangkan pengambilan tenaga luar ini," katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Persidangan Sains Perubatan dan Kesihatan Kebangsaan Ke-16 di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini, semalam.

Jegathesan, Bekas Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, sikap sesetengah pihak yang memberi tekanan kepada jurulatih untuk menghasilkan kejayaan segera juga mungkin menjadi punca mereka bertindak kurang bijak.

"Kita tidak boleh berhentikan pengambilan mereka (jurulatih luar) serta merta, tetapi kita boleh cuba kurangkan.

"Selain itu kita mesti aktif memberi pendidikan kepada semua golongan melalui seminar, kursus dan sebagainya mengenai bahaya bahan-bahan terlarang," katanya.

Menurutnya, atlet juga tidak boleh disalahkan seratus peratus dalam pengambilan dadah terlarang, ada yang mengambilnya secara tidak sengaja kerana tidak mengetahui bahawa ubat perangsang prestasi yang diambil tersenarai sebagai bahan larangan

No comments:

Post a Comment