Wednesday, June 22, 2011

Gelanggang uji petinju muda

22 Jun 2011
Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
sukan@kosmo.com.my

MOHD. ISA (kiri) bersalam dengan jurulatih dan petinju-petinju yang menyertai Kejohanan Tinju Piala Malaysia di Komples Rakan Muda Jempol malam kelmarin.

KEJOHANAN Tinju Piala Malaysia yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Jempol, Negeri Sembilan malam kelmarin merupakan platform bagi melahirkan petinju berbakat pada masa hadapan.

Presiden Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, menerusi kejohanan tersebut, PTAM boleh menilai keupayaan barisan petinju muda untuk diserapkan dalam skuad negara.

"Apa yang kita lakukan ini juga merupakan persediaan menghadapi temasya Sukan SEA di Indonesia pada 11 hingga 22 November depan.

"PTAM telahpun mengenal pasti seramai 16 petinju dan hanya lapan daripada mereka akan membawa cabaran negara pada temasya di Indonesia itu nanti," katanya.

Mohd. Isa berkata, setiap negeri wajar menghantar petinju terbaik masing-masing bagi menyertai kejohanan tersebut supaya teknik serta skil setiap petinju dapat dipertingkat.

"Saya melihat kejohanan ini adalah platform yang berkesan mencungkil bakat baru dan barisan pelapis. Latihan di luar negara pula bergantung kepada persetujuan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya.

Sementara itu, seorang petinju, Mohd. Azlin Abd. Aziz, 32, berkata, kejohanan sedemikian mampu memperbaiki skilnya.

"Saya gembira kerana dapat berhadapan petinju dari Kelantan dalam kejohanan ini.

"Biarpun telah lapan tahun bergiat dalam sukan tinju, ini merupakan kali pertama saya mewakili negeri ini dalam kejohanan peringkat kebangsaan ini," katanya yang beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg).

Petinju Kuala Lumpur, Mohamad Saiful Bahari Rosdi, 22, berkata, sukan tinju memerlukan keberanian.

"Cedera adalah perkara biasa. Kita boleh mengelaknya jika tahu skil dan cara bertinju.

"Apa yang penting jangan ada perasaan dendam selepas selesai bertarung atas gelanggang. Ini sukan bukan bertinju seperti orang bergaduh," katanya.

Seorang lagi petinju, Mohamad Fairus Shah Safuddin, 21, memberitahu, generasi muda wajar menyertai tinju kerana ia dianggap antara sukan yang menitikberatkan aspek disiplin.

"Bakat muda diperlukan untuk mengembangkan sukan ini selain menjadikan Malaysia sebagai jagoan dalam sukan tinju di peringkat antarabangsa," jelasnya yang mewakili Johor.

Kejohanan Tinju Piala Malaysia mempertandingkan sembilan kategori iaitu 46kg, 49kg, 52kg, 56kg, 60kg, 64kg, 69kg, 75kg dan 81kg.

Kejohanan itu melibatkan 15 pasukan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagaimanapun, Perlis tidak menghantar kontinjen pada kejohanan kali ini.

No comments:

Post a Comment