Monday, June 6, 2011

PELUANG ARFY DAN JUPHA

KUALA LUMPUR, 5 Jun - Saingan hari ketiga berbasikal trek Sukan Malaysia XIV di Velodrom Cheras esok bakal tertumpu kepada cabaran pelumba kebangsaan Muhd Arfy Qhairant Amran dari Melaka dan pelumba wanita Jupha Somnet dari Perlis yang bakal turun dengan misi meraih emas.

Dalam sesi kelayakan acara pecut 200m, Arfy mencatat 11.570s untuk tempat kedua dan mara ke akhir bertemu Farid Jamlus dari Pahang pada pusingan seterusnya esok.

Mohd Fatah Amri Zaid dari Kedah mencatat masa terpantas pecut pada pusingan kelayakan hari ini dengan catatan 11.515s.

Dalam 200m pecut wanita hari ini, Jupha nyata sukar digugat apabila mencatat masa terpantas 13.071s untuk menduduki ranking teratas. Beliau bertemu Rosnina a/k Minggu dari Sarawak pada saingan seterusnya esok.

Pelumba Sabah yang juga pesaing utama, Lauretta Eva Adrian mencatat masa kedua terpantas 13.307s, bertemu Zanariah Ismail dari Johor esok. Pelumba Terengganu Ummi Hamimah Mohamad mencatat masa ketiga terpantas dengan masa 13.452s.

Jupha juga bakal beraksi dalam saingan kejar mengejar individu dan bakal berentap dengan pelumba Selangor Nurul Ahmar Badiozaman pada pusingan akhir esok.

Terengganu, yang lega dengan kemasukan semula pelumba lelakinya selepas tidak dibenarkan bertanding semalam, akan bersaing dengan Kedah manakala Pahang berentap menentang Selangor.

Lapan pingat emas menjadi rebutan esok dengan acara pecut lelaki dan wanita menjadi tumpuan. Perlumbaan mata lelaki pula menyaksikan penyertaan 21 pelumba manakala 16 pelumba dalam saingan perlumbaan mata wanita.

ACARA AKHIR: Isnin, 6 Jun:
Pecut Berpasukan Lelaki; Pecut Berpasukan Wanita; Perlumbaan Mata Lelaki; Perlumbaan Mata Wanita; 200m Pecut Lelaki; 200m Pecut Wanita; Kejar Mengejar Individu Lelaki; Kejar Mengejar Individu Wanita

http://sukanmalaysia.nsc.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=217:peluang-arfy-dan-jupha-&catid=36:berita&Itemid=55

No comments:

Post a Comment