Thursday, June 30, 2011

Remaja Asia

Oleh Wan Noriza Meor Idris
wannoriza@nstp.com.my

KOMBINASI muka lama dan baru bakal dipilih menggalas cabaran negara di Kejohanan Wushu Remaja Asia, di Shanghai, China, Ogos ini.

Setiausaha Eksekutif Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), Winnie Chin berkata, kejohanan ini diibaratkan sebagai kempen pertama sukan wushu untuk musim 2011 sebelum melangkah ke saingan utama, Kejohanan Dunia, di Izmir, Turki, September ini.


Katanya, susulan itu pihaknya sudah memantau pergerakan serta prestasi atlet dari sekarang untuk memilih 12 atlet ke Shanghai yang terdiri daripada gabungan pelapis serta elit.

"Selepas pemilihan atlet ke Sukan Sea yang dijadual pada hujung bulan depan, Kejohanan Wushu Remaja Asia dan Kejohanan Wushu Dunia ini dilihat mampu dijadikan pertandingan pemanas badan sebelum ke Palembang, November ini.


"Kejohanan di Shanghai pada 17 hingga 21 Ogos ini juga dilihat penting kerana kami bakal menghantar lebih ramai atlet pelapis ke Sukan Sea berbanding elit. Oleh itu, mereka berupaya mendapat pendedahan awal di saingan bertaraf antarabangsa," katanya yang dijangka turut menghantar 12 atlet ke Sukan Sea.


Mengulas prestasi atlet pelapis dan elit ketika ini, Winnie berkata, walaupun wushu kekurangan kejohanan antarabangsa, skuad negara masih menunjukkan prestasi memuaskan.

"Kami menggunakan penekanan latihan berbeza, yang mana pelapis dan elit digabungkan bersama ketika sesi latihan. Kami mempunyai lapan atlet pelapis ketika ini dan setakat ini empat daripadanya dilihat mampu menuai pingat di kejohanan di Shanghai mahupun Palembang," katanya.

No comments:

Post a Comment