Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my
JUPHA (kiri) tampil hebat untuk menyumbangkan pingat emas pertama buat kontinjen Perlis semalam.
PELUMBA basikal wanita negara, Jupha Som Net berada dalam kelas tersendiri ketika menghadiahkan pingat emas pertama kepada kontinjen Perlis pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur semalam.
Jupha, 18, yang memenangi empat pingat perak dan satu gangsa pada Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) di Korat, Februari lalu, melakukan henjutan luar biasa pada 200 meter terakhir untuk menjuarai acara 10 kilometer scratch wanita dengan catatan masa 18:04.367 saat.
Lebih manis, kejayaan ini juga merupakan pingat emas pertama buat pelumba kelahiran Chuping, Perlis itu dalam penyertaan kali ketiganya di Sukma.
"Strategi saya ialah mengekalkan kedudukan dalam kelompok besar supaya dapat menyimpan tenaga pada pusingan terakhir," kata Jupha semalam.
"Ketika sampai di 200m terakhir, saya mula mengerah segala tenaga yang ada untuk meninggalkan pelumba lain kerana saya sedar saingan dalam acara ini daripada pasukan lain amat sengit.
"Apa pun saya amat gembira kerana dapat mengutip pingat emas pertama dalam temasya Sukma dan lebih penting, ia juga emas pertama untuk kontinjen Perlis," ujarnya.
Pingat perak acara tersebut dimenangi pelumba Terengganu, Zahraa Anuawar dengan catatan 18:04.695s sementara pingat gangsa dikutip oleh Nurul Ahmar Bazeuzzaman dari Selangor dengan masa 18:04.985s.
"Selepas ini saya ada dua lagi acara iaitu 4km individu kejar mengejar dan pecut.
"Peluang untuk menang lebih cerah dalam acara kegemaran saya iaitu pecut, jadi saya sudah pasti meletakkan sasaran emas pada acara tersebut nanti," tambahnya.
No comments:
Post a Comment