7/6/2011
KUALA LUMPUR - Biarpun tiga pingat emas sudah diraih, Ju Pha Som Net masih belum puas dan berikrar untuk memahat sejarah membolot emas kelima pada hari terakhir lumba basikal, hari ini.
Semalam, ratu trek Perlis itu membuktikan kejaguhan dengan memenangi dua emas menerusi acara 3 kilometer individu kejar-mengejar dan individu pecut. Emas pertamanya sebelum ini diraih dalam perlumbaan scratch.
Pelumba kebangsaan kelahiran Chuping, Perlis itu berpeluang menambah koleksi emas apabila bersaing dalam acara keirin dan 500 meter ujian masa, hari ini.
Kata Ju Pha, dia memang meletakkan harapan tinggi dalam semua acara yang disertai, dan berasa gembira berjaya menyumbangkan tiga emas buat Perlis setakat ini.
"Saya hanya fikirkan saya boleh buat, sebelum ini saya cuma meletakkan sasaran tiga emas, tetapi selepas memenuhi misi hari ini, saya yakin mampu menambah gelaran dalam dua lagi acara," katanya di Velodrom Cheras semalam.
Jelasnya lagi, dia mahu mencipta sejarah dalam acara berbasikal trek dan layak digelar ratu Sukan Malaysia, selaku pemenang pingat emas terbanyak temasya.
"Mungkin semangat ini timbul kerana bapa saya, Som Net Lim datang dari jauh untuk memberi sokongan. Bagaimanapun saya masih belum boleh menganggap saya adalah pelumba terbaik.
"Kedudukan saya masih jauh dengan pelumba elit negara, Fatehah Mustapa. Banyak perlu diperbaiki untuk berdiri sama tinggi dengannya," katanya lagi.
Ditanya sama ada dia akan dibawa ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley untuk menyertai latihan di Melbourne, Ju Pha berkata, setakat ini dia belum pasti sama ada akan menyertai Fatehah, Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Amir Mustafa Rusli, Adiq Husainie Othman ke sana.
No comments:
Post a Comment