7/6/2011
KONTINJEN Perlis menerusi pecutan kayuhan Ju Pha Som Net menepati ramalan apabila berjaya menggondol emas dalam acara 3km Kejar-mengejar Individu Wanita pada hari kelima Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur di Velodrom Cheras, semalam.
Atlet berbasikal wanita negara itu berkata, ia adalah emas keduanya dalam acara itu selepas meraih emas dalam acara 10km scratch race wanita, kelmarin.
“Dah jangka menang tapi saya tidak sangka saingan bertenaga peserta lain hari ini,” kata anak kelahiran Chuping, Perlis.
Pada perlumbaan itu, Ju Pha berjaya memecut laju dengan keputusan masa 4 minit 16.727 saat menewaskan saingan Nurul Ahmar Badeuzzaman dari Selangor yang ketinggalan jauh 6.794s di belakang.
Pingat gangsa dimiliki Nurul Nadia Mohamad Fauzi dari Pahang, 4:28.574s.
Saingan kategori 4km Kejar-mengejar Individu Lelaki pula menyaksikan Ahmad Fakhrullah Alias berjaya meraih emas pertama buat kontinjen Pahang.
Catatan 5:08.849s menewaskan pelumba Wilayah Persekutuan, Wan Syazwan Afiq Wan Shahril Anwar dengan kelebihan 2.401s dan gangsa milik Muhammad Faiz Izzudin Omar dari Selangor, 5::13.551s.
Pecut Berpasukan Wanita pula menyaksikan duo Terengganu Ummi Hamimah Mohamad dan Zahraa Anuawar memenangi pingat emas dengan catatan 51.699s, 0.62s di hadapan atlet Selangor dan Kedah.
No comments:
Post a Comment