Friday, June 10, 2016

Pingat Sukma lebih bermakna daripada Kejohanan Remaja Dunia

Jurulatih lompat kijang negara, Victor Sotnikov, tetap bertegas mahu atlitnya, R. Kirthana, menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak bulan depan walaupun dia turut melepasi had kelayakan ke Kejohanan Remaja Dunia di Poland.

Sotnikov, yang bertanggungjawab melahirkan juara Sukan Sea, Muhammad Hakimi Ismail, punya alasan sendiri mengapa Kirthana perlu ke Sarawak.

Kesnya berbeza dengan dua jaguh pecut dalam pembikinan, Badrul Hisham Abd Manap dan Khairul Hafiz Jantan, yang berpeluang layak ke final di Poland.

Ini kerana jarak 13.20m ketika Kirthana meraih pingat emas Kejohanan Remaja Asia di Vietnam, minggu lalu dianggap tidak mampu melangkah jauh di Poland.

“Jika Kirthana ke Sukma, dia mampu memenangi pingat, (sebaliknya) jika ke Poland, hanya akan layak ke final,” kata Sotnikov.

Sotnikov mengiringi Hakimi berlepas ke Kazakhstan untuk program latihan selama sebulan dan menyertai tiga kejohanan peringkat antarabangsa.

Ia sebagai usaha terakhir untuk Hakimi melepasi had kelayakan Sukan Olimpik Rio, 16.85m.

Tarikh tutup kelayakan ialah 11 Julai depan.

“Saya berharap bebas daripada kecederaan dan yakin mampu membuat lompatan yang terbaik sebelum tamat tarikh kelayakan ke Rio,” kata Hakimi.

No comments:

Post a Comment