Saturday, April 23, 2011

Sekolah sukan fokus lahir atlet berwibawa

Oleh DRAHMAN BAHARUN
drahman@kosmo.com.my

MISI melahirkan atlet berwibawa adalah fokus utama penubuhan sekolah sukan di negara ini.
Dalam erti kata lainnya, ia boleh dianggap 'kilang' untuk melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama pencapaian cemerlang dalam bidang akademik tetap menjadi keutamaan.

Kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan perlu seiring agar atlet yang dilahirkan itu mempunyai pakej serba lengkap iaitu berilmu.

Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Bandar Penawar (SSBP) adalah projek perintis untuk tujuan itu.

SSBJ pada awalnya hanya memfokuskan kepada 12 jenis sukan iaitu akuatik, memanah, olahraga, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar, hoki, skuasy, gimnastik berirama, gimnastik artistik dan sepak takraw.

Namun kini terdapat 26 jenis sukan ditawarkan dengan kemasukan acara seperti wusyu, kriket, lawan pedang, lumba basikal, menembak, golf, taekwondo, ekuestrian, perahu layar, badminton, tenis, pool/snooker, angkat berat dan tenpin boling.


"BRYAN dua kali beraksi pada temasya Olimpik. "

Begitu juga dengan SSBP yang pada asalnya hanya menawarkan beberapa jenis sukan, namun kini semakin berkembang seperti mana perubahan di SSBJ.

Perubahan ini membuktikan bahawa peranan dua sekolah sukan itu mempunyai kesan dalam melahirkan atlet berdaya saing.

Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin mengakui bahawa fungsi sekolah sukan amat luas.

Selain bertindak melahirkan atlet pelapis negara ia juga memainkan peranan melahirkan ahli sukan yang cemerlang dalam bidang akademik.

Menurutnya, SSBJ dan SSBP berjaya melahirkan atlet pelapis yang berkualiti untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi pada masa akan datang.

"Sekolah sukan ibarat lubuk untuk melahirkan jaguh sukan negara.

"Di sini, pelajar diajar ilmu dalam bidang sukan dan ia adalah subjek wajib sebaik tamat waktu persekolahan mereka setiap hari.

"Pelajar ini akan dibimbing oleh jurulatih bertauliah yang mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing. Sesi motivasi untuk mengukuhkan kekuatan mental turut diadakan ke arah membentuk keyakinan diri atlet," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jefri menegaskan, sekolah sukan yang ada sekarang tidak cukup untuk menampung pelajar yang semakin ramai dan ia perlu ditambah.

"Kita perlu menambah sekolah sukan kerana sebahagian daripada pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan dan akademik tidak mendapat tempat apabila kouta sudah penuh.

"Saya rasa perlu diwujudkan sekolah sukan di beberapa negeri seperti di Sabah, Pahang dan Perlis," katanya.

Menurutnya, MSN pula akan memainkan peranan dengan menyediakan program latihan dan pendedahan kepada pelajar yang menuntut di sekolah sukan.

Sehingga kini, sebahagian besar atlet pelapis negara masa kini terdiri daripada pelajar di dua sekolah sukan berkenaan.


"ROBANI cipta nama dalam acara 110m lari berpagar. "

Jumlah itu akan semakin meningkat jika ada di kalangan pelajar berjaya mempamerkan prestasi cemerlang pada kejohanan-kejohanan tertentu.

Setakat ini, 12,718 bakat baru mengikuti latihan di beberapa pusat kecemerlangan di seluruh negara dan jika ada di kalangan mereka mempamerkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik dan sukan, peluang mereka untuk diserapkan ke sekolah sukan adalah cerah.

Menurut Jefri, asas kemasukan adalah mudah iaitu cemerlang dalam dua bidang iaitu akademik dan sukan.

Sejak beberapa tahun, ramai pelajar sekolah sukan ini sudah mendapat tempat dalam skuad elit negara dan antara mereka ialah S. Mathialagan (olahraga), Aricco Jumith (angkat berat), Mohd. Faiz Musa (angkat berat), Kelvin Ong (tenpin boling) dan juga Mohd. Zulkifli Tahir (memanah).

Nama besar yang lahir daripada SSBJ dan SSBP sudah pastinya atlet terjun, Farah Begum Abdullah, Yeoh Ken Nee, Leong Mun Yee, Bryan Nickson Lomas, Elizabeth Jimie diikuti atlet renang, Daniel Bego, Durratun Nasihin Rosli (gimnastik) Roslinda Samsu (lompat bergalah wanita), Mohd. Robani Hassan (110m lari berpagar), Ngew Sin Mei (lompat kijang wanita), Zulmazran Zulkifli, Aaron Kong (tenpin boling) dan ramai lagi.

Kejayaan dua sekolah sukan ini melahirkan atlet yang berdaya saing di pentas antarabangsa turut mendapat pujian Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.

Menurut Kok Chi, sekolah sukan memiliki peranan yang cukup besar dalam melahirkan atlet yang berjaya dan cemerlang.

"Pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) adalah penyumbang utama dan penampilan mereka pada Sukan SEA misalnya, tidak pernah menghampakan.

"Sebagai contoh perenang negara, Daniel Bego dan penerjun cilik, Bryan Nickson adalah antara pelajar yang dilihat paling menyerlah lahir daripada sekolah sukan.

"Bakat mereka dicungkil serta digilap di sekolah sukan. Mereka ini masih muda dan memiliki peluang untuk berjaya dalam karier masing-masing," katanya.

Kok Chi juga bersetuju agar sekolah sukan perlu ditambah pada masa akan datang untuk melahirkan lebih ramai atlet yang berjaya.

Menurutnya, MOM menyokong penuh penubuhan sekolah sukan bagi menempatkan lebih ramai pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam bidang sukan.



Naib presiden Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Promosi dan Penajaan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Nur Ekmal Buhary berkata, sekolah sukan perlu dipertingkatkan dari segi penambahbaikan program untuk pelajar.

Menurutnya, program pelajar sekolah sukan harus berbeza dengan sekolah biasa bagi melahirkan pelajar yang berkualiti bukan sahaja dalam sukan, malah akademik.

"Sekolah sukan perlu memberi fokus kepada pelajar yang cemerlang dalam sukan dan akademik. Jika ditekankan kedua-duanya, ibu bapa sudah pasti tidak berasa takut menghantar anak mereka ke sekolah sukan.

"Dalam hal ini perlu ada penambahbaikan serta bersedia menerima pandangan daripada pelbagai pihak untuk meningkatkan kualiti sekolah sukan," katanya.

Dia juga mengakui bahawa sekolah sukan sekarang sudah berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang dalam sukan serta akademik.

No comments:

Post a Comment