Wednesday, November 28, 2012

30 Atlet Pelapis Naik Taraf Ke Program Elit

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) --

Usaha Majlis Sukan Negara (MSN) mencungkil bakat muda untuk diserap sebagai atlet kebangsaan membuahkan hasil apabila 30 atlet pelapis negara mengesahkan tempat dalam status elit, sekaligus mewakili Malaysia pada kejohanan tempatan dan antarabangsa tahun ini.

Pengarah Cawangan Pelapis MSN Jefri Ngadirin berkata usaha memilih 30 atlet berkenaan dibuat sejak Januari hingga bulan ini, menerusi pelbagai program latihan dan kem bakat atlet pelapis negara.

"Kita sentiasa menilai prestasi atlet pelapis ini melalui kejohanan, latihan dan kem sukan yang diadakan untuk pelbagai peringkat umur supaya dapat mencungkil atlet harapan negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tujuh atlet terbabit adalah daripada sukan angkat berat, pelayaran (6), berbasikal (5), menembak (3), masing-masing dua dalam sukan akuatik (terjun), wushu dan tenpin boling serta masing-masing seorang menerusi karate, wushu dan tinju.

Jefri berkata pihaknya menjangkakan jumlah itu akan meningkat kerana proses pemilihan dan penilaian terhadap atlet pelapis negara untuk diserap dalam program elit sedang berjalan sehingga hujung tahun ini.

-- BERNAMA

Sunday, November 25, 2012

Cungkil bakat pelayar

Oleh HAYATI IBRAHIM
ya_t@hmetro.com.my

MAJORITI peserta Klinik Pengenalan Bakat Sukan Pelayaran anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) di Pusat Maritim Putrajaya semalam mempunyai prestasi amat cemerlang dan boleh diangkat sebagai atlet negara pada masa depan.

Mereka yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu didapati mempunyai kebolehan tinggi dalam sukan itu terutama daripada tiga aspek utama iaitu fizikal, kognitif pemikiran dan mental serta tahap kecergasan dan keyakinan tinggi.


Pegawai dan penyelaras Program Pelayaran Putrajaya, Megat Fairuz Khairuddin berkata, klinik itu sebahagian daripada usaha mencungkil bakat baru sukan air terutama sukan perahu layar, kenu dan mendayung.

"Kami yakin ramai bakat baru ada di Putrajaya dan kami percaya sekolah adalah sumber untuk melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.


"Seramai 32 peserta menghadiri klinik ini dan mereka dibimbing jurulatih peringkat kebangsaan dan atlet negara sepanjang sesi berlangsung. "Kami akan menilai prestasi mereka dan 15 daripada mereka akan dipilih untuk menyertai program sukan pelayaran bermula tahun depan.


"Saya percaya daripada 15 peserta berpotensi yang dipilih, akan ada yang mampu mengharumkan nama negara pada masa depan," katanya.

Tuesday, November 13, 2012

Dua Pelumba Pelapis Terengganu Terpilih Sertai Kem Pelapis Negara

November 12, 2012 14:31 PM
Dua Pelumba Pelapis Terengganu Terpilih Sertai Kem Pelapis Negara


KUALA TERENGGANU, 12 Nov (Bernama) -- Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) bangga setelah dua orang lagi pelumba pelapis basikal Terengganu terpilih menyertai kem pelapis negara di Ipoh bermula 22-28 Nov ini.

Ahmad Najib Ismail dan Mohd Shahrir Azman yang masing-masing berumur 15 tahun ini akan diuji untuk diserapkan ke skuad pelapis negara.

Jurulatihnya, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan nyata berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh anak didiknya walaupun baru sembilan bulan aktif menyertai sukan berbasikal ini.

Menurutnya kedua-dua pelumba ini dipilih berdasarkan pencapaian mereka sepanjang menyertai kejohanan di bawah anjuran Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kita akui kedua pelumba ini masih muda dan baru namun mereka mempunyai potensi yang besar untuk terus maju," katanya.

-- BERNAMA