Thursday, July 19, 2012

MSN bangga pencapaian pelapis

19/07/2012
Utusan

MSN bangga pencapaian pelapis

KUANTAN - Majlis Sukan Negara (MSN) berpuas hati dengan pencapaian
1,707 atlet di bawah program Pelapis yang menghasilkan 105 pingat
emas, 107 perak dan 122 gangsa untuk kontinjen negeri masing-masing
sepanjang temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV Pahang yang menutup
tirainya semalam.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong, jumlah atlet itu
merangkumi 140 Pelapis Kebangsaan, 102 Pelapis Serantau dan 1,253
Pelapis Negeri yang menyertai 17 daripada 24 jenis sukan yang
dipertandingkan.

"Berbanding temasya Melaka dua tahun lalu, penyertaan atlet di bawah
program Pelapis meningkat sebanyak 14 peratus iaitu berbanding 1,502
orang pada 2010.

"Namun peningkatan jumlah atlet Pelapis kesemua peringkat itu juga
datang bersama peningkatan dari segi prestasi yang menyaksikan 105
emas berjaya diraih mereka, berbanding 87 pada temasya lalu.

"Di samping itu, 13 rekod Sukma (oleh atlet Pelapis) turut berjaya
dipecahkan menerusi sukan menembak, renang dan olahraga berbanding
hanya lima rekod di Melaka.

"Pencapaian sepatutnya lebih bagus, tapi kita perlu ambil kira bahawa
beberapa atlet Pelapis yang masih layak bertanding dari segi umur
tetapi telah diserap ke dalam program Elit seperti Khairul Anuar
Mohamed, Haziq Kamaruddin, Nurul Syafiqah Hashim (memanah) dan Adiq
Hussaini (berbasikal)," katanya pada sidang media di sini semalam.

Menyentuh mengenai prestasi keseluruhan pula, Zolkples tidak terlalu
gusar dengan kekurangan bilangan rekod temasya yang berjaya dipecahkan
jika dibandingkan dengan temasya Melaka.

Ia mencatatkan penurunan hampir 50 peratus, iaitu daripada 67 rekod
kepada 33 pada temasya kali ini, namun Zolkples percaya ia berikutan
perubahan had umur atlet bertanding dari bawah 23 kepada bawah 21.

"Di sebalik jumlah rekod yang berkurangan, Alhamdullilah ada juga tiga
rekod kebangsaan iaitu melalui Abdul Mubin Rahim dalam clean & jerk
bawah 77kg dan Freancy Titus dalam snatch bawah 58kg, selain perenang
Ian James Barr yang berjaya memecahkan rekod sendiri dalam 200m
rampaian individu," ujarnya.

Penembak emas Pahang sumbang insentif kepada sekolah

19/07/2012
Utusan

Penembak emas Pahang sumbang insentif kepada sekolah

KUANTAN - Penembak Pahang, Aina Zahiran, 18, yang merangkul lima
pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV baru-baru ini
menyumbangkan sebahagian wang insentif yang diterimanya kepada
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Ubai, dekat
sini.

Pada majlis yang diadakan di sekolah tersebut semalam, Aina
menyerahkan sumbangan RM2,000 kepada Yang Dipertua PIBG SK Ubai, Mohd.
Sulihi Zainal sambil disaksikan Guru Besar, Azhar Jamil dan murid
sekolah berkenaan.

Menurut penembak pelapis kebangsaan itu, dia sudah memasang hajat
tersebut sebelum temasya Sukma bermula lagi dan pemilihan sekolah
tersebut tidak dipengaruhi sesiapa dan hanya terlintas di fikirannya.

"Saya juga berharap adik-adik di sini belajar bersungguh-sungguh dan
bagi yang meminati sukan, ia harus seimbang antara sukan dan akademik.

"Tiada beza antara budak kampung dan bandar, sesiapa saja boleh
berjaya jika fokus dan tidak berputus asa," katanya ketika ditemui
pemberita semalam.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu juga percaya dan berpegang
pada prinsip rezeki tidak akan hilang jika sentiasa bersyukur.

Dalam temasya Sukma XV, Aina merangkul emas menerusi acara air rifle
10meter berpasukan, 50m air rifle individu dan berpasukan serta 50m
rifle prone individu dan berpasukan, sekali gus memperbaiki pencapaian
di Melaka (2010) yang menyaksikan dia membawa pulang empat emas untuk
Pahang.

Aina, yang kini menduduki Pra-U dan menjalani latihan di Sekolah Sukan
Bukit Jalil di bawah kendalian jurulatih, Mohd. Sabki Mohd.
memberitahu, tumpuannya kini ialah untuk menghadapi satu kejohanan di
Australia pada Januari depan.

Sementara itu, Mohd. Sulihi berkata, beliau bersyukur dan berbangga
dengan pemilihan PIBG sekolah tersebut oleh penembak terbabit.

Menurutnya, ia juga menjadi dorongan buat murid sekolah itu untuk
berusaha mencontohi Aina yang juga berjaya mengharumkan nama Pahang
dalam sukan itu.

Dalam pada itu, bapa Aina yang turut hadir pada majlis tersebut,
Zahiran Abdul Rahim, 48, memberitahu, keluarganya menyokong penuh niat
murni Aina untuk membantu sekolah berkenaan.

"Saya juga berharap selepas ini lebih ramai remaja membabitkan diri
dalam sukan kerana sukan juga memberikan ruang kerjaya dan masa depan
namun ia perlu diseimbangkan dengan akademik," katanya.