Wednesday, May 23, 2012

Kejutan Olivia

23.05.2012
Oleh Wan Noriza Meor Idris
wannoriza@nstp.com.my

OLIVIA Tai Qing Tong umpama pencetus harapan baru arena sukan gimrama apabila berjaya menduduki ranking 10 terbaik kategori remaja pada pentas akhir Siri Piala Dunia di Tashkent, Uzbekistan yang berakhir, kelmarin.

Meskipun tidak meraih sebarang pingat, atlet cilik yang baru saja menyambut ulang tahun kelahiran ke-13, bulan lalu disifatkan berada di landasan tepat untuk menyerlah di temasya utama akan datang khususnya di Olimpik Remaja (YOG) 2014.


Pada kejohanan antarabangsa remaja yang turut dinamakan ‘Happy Caravan’ itu, Olivia menduduki tangga keenam dan kelapan acara gelung dengan catatan 25.125 mata serta bola (24.9).

“Olivia digilap untuk beraksi di Olimpik Remaja 2014 dan dengan kejayaan menduduki 10 tempat terbaik kategori remaja dalam acara bertaraf dunia seperti ini, dia seolah-olah memberi bayangan mampu menyumbang pingat di temasya bertaraf dunia.


Ketua jurulatih negara, Elena Kholodova bangga dengan kejayaannya hingga menganggap Olivia berpotensi menjadi gimnas elit yang berkaliber sekiranya kekal konsisten.


“Ini kerana pada awal usia 13 tahun, Olivia sudah mampu berdiri seiring dengan 10 gimnas terbaik dunia dan menaikkan lagi nama Malaysia di peringkat remaja,” kata Penyelaras Hal Ehwal Atlet Gimrama Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low yang turut mengiringi Olivia ke Tashkent.

Olivia diberi kepercayaan ke Tashkent selepas berjaya membuktikan kewibawaan dalam kategori berpasukan bersama Shak Yuki dan N Shasangari Sivaneswary dengan menduduki tangga ke-15 daripada 35 negara pada Siri Kedua di Pesaro, Itali, bulan lalu.


Siri Piala Dunia yang membabitkan empat saingan itu bermula di Kiev, Ukraine sebelum ke Itali dan Corbeil Assones, Perancis (11-13 Mei). Saingan terakhir berlangsung di Tashkent, Uzbekistan (15-20 Mei). Kejohanan berprestij itu membariskan gimnas berstatus dunia dari 40 negara, antaranya Russia, China, Azerbaijan, Austria, Argentina, Belarus, Uzbekistan, United Kingdom, Ukraine, Sepanyol, Slovenia, Kazakhstan, Cyprus dan Perancis.