Monday, August 22, 2011

PKBM bentuk pelapis

22/08/2011
Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

PENCAPAIAN yang dilakarkan oleh dua pelumba negara di Kejohanan Trek Remaja Dunia, memberi gambaran baru kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk membentuk rangkaian pasukan pelapis di sebalik kehadiran Azizulhasni Awang, Rizal Tisin dan Josiah Ng.

Biarpun tiada pencapaian pingat oleh Muhd Arfy Qhairant Amran (gambar) dan Hamdan Hamidun sekali gus gagal mengulangi pencapaian yang pernah dilakarkan oleh Adiq Husainie Othman yang merangkul gangsa menerusi acara scratch, Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad sudah mempunyai perancangan tersendiri. Katanya, Afry akan diserapkan ke skuad elit bersama Hamdan selepas melepasi syarat kelayakan ditetapkan oleh jurulatih John Beasley.


“Arfy mencatatkan masa�10.693s untuk menduduki tempat ke-32. Biarpun catatan itu mampu melayakkannya ke pusingan seterusnya ia sudah cukup melepasi syarat yang ditetapkan oleh Beasley iaitu di bawah 10.7s jika mahu diserapkan ke dalam skuad elit secara automatik. “Tambah meyakinkan catatan itu adalah rekod baru remaja kebangsaan dalam velodrom tertutup justeru sudah ada perancangan terbaru untuk pelumba itu. Acara pecut 200m itu dimenangi pelumba Jerman, Niederlag Max yang berjaya mencatatkan rekod baru remaja dunia dengan catatan 9.899s selepas memadamkan rekod terdahulu 9.955s yang dicipta pelumba Russia, Nikita Shurshin.

Mengulas pencapaian Hamdan, Naim berkata pelumba itu berjaya mempamerkan prestasi yang baik apabila berjaya menghabiskan semua enam acara yang dipertandingkan dalam omnium.


“Hamdan berjaya menduduki tempat ke-18 daripada 22 pelumba bertanding. Ia satu petanda yang baik untuk skuad negara.

nota kaki: Kedua-dua atlet ini ini adalah hasil program pembangunan yang dijalankan oleh MSN melalui program pelapis di peringkat negeri, serantau dan kebangsaan. jadi tajuk laporan ini kurang tepat.

Thursday, August 18, 2011

Pemanah sasar suku akhir Kejohanan Dunia

sukan@utusan.com.my
18/08/2011

Oleh ZAZALI JAMIANKUALA LUMPUR - Sedar dengan cabaran yang menanti pada Kejohanan Memanah Remaja Dunia 2011 di Polnad mulai Sabtu ini, pasukan negara sekadar meletakkan sasaran mara ke suku akhir.

Pengurus pasukan, Rahimi Ahmad Sulaiman berkata, 12 pemanah bersama empat pegawai akan terlibat dalam kejohanan tersebut.

Tambah Rahimi, 70 negara mengesahkan penyertaan dengan jumlah 500 atlet akan mengambil bahagian dalam kejohanan dwi tahunan itu, sekali gus menjadi penyertaan tertinggi setakat ini.

"Jumlah negara menyertai kejohanan ini sangat tinggi dan cabaran yang menanti pasti lebih getir terutama dari negara seperti Korea Selatan, Itali dan Amerika Syarikat.

"Ini juga adalah pendedahan terbaik buat pemanah baru yang kebanyakan terdiri daripada atlet pelapis," katanya di sini, kelmarin.

Tambah Rahimi, kejohanan kali ini akan melibatkan dua acara, namun pemanah negara hanya menyertai acara recurve kategori kadet dan remaja.

"Dalam acara kadet kita mungkin berpeluang untuk melangkah lebih jauh daripada apa yang disasarkan menerusi pemanah berbakat Adam Wong dan Atiq Bazil.

"Bagaimanapun untuk pemanah wanita kita cuma meletakkan sasaran layak ke saingan 16 perlawanan akhir," jelas Rahimi.

Ini adalah penyertaan kali kelima Malaysia sejak 2002 dan pencapaian terbaik negara dalam kejohanan itu adalah memperoleh satu pingat perak menerusi Muhammad Izuddin Abdul Rahim dalam acara recurve pada 2006 di Mexico.

Pelapis olahraga tunjuk belang

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
18/08/11

KUALA LUMPUR - Kecemerlangan atlet pelapis negara kian menyerlah apabila tiga atlet olahraga berjaya melepasi kelayakan ke Sukan SEA 2011 secara merit.

Tiga atlet tersebut ialah Ahmad Luth Hamizan dalam acara 300 meter lari berhalangan dan dua atlet 400m berpagar Mohd. Baihaqi Fazlan serta Muhammad Firdaus Mazalan.

Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pencapaian tiga atlet tersebut menjadi kebanggaan atlet pelapis yang lain kerana berupaya menempah tiket dalam kategori A.

"Mereka ini adalah atlet pelapis yang mempamer peningkatan positif. Jadi kita harap akan ada atlet pelapis yang lain layak secara merit.

"Ini juga menunjukkan bahawa program yang telah kita jalankan berupaya memberikan hasil positif," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Ahmad Luth berjaya melepasi kelayakan 9:27.21 saat dalam acara 300m lari berhalangan apabila memperoleh keputusan terbaik pada Kejohanan Olahraga Remaja Selangor 2011 pada April lalu dengan catatan 9:26.21s.

Manakala Mohd. Baihaqi mencatat 52.94s pada kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Singapura bulan lalu dan Muhammad Firdaus 53.24s pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan Perlis, mengatasi kelayakan 53.40s dalam acara 400m lari berhalangan.

Dalam pada itu, Jefri berkata, peluang untuk tiga atlet tersebut dinaikkan ke status elit cerah selepas menilai keupayaan melayakkan diri ke Sukan SEA.

"Kebiasaannya atlet pelapis yang beraksi pada Sukan SEA akan diserap menyertai program elit dan peluang tiga atlet ini tetap ada.

"Kita juga akan menilai untuk memberikan pendedahan kepada atlet pelapis yang berpotensi menyertai kejohanan antarabangsa supaya mereka dapat bersaing dengan atlet luar negara," jelas Jefri.

Thursday, August 11, 2011

Skuad pelapis sertai Trek Remaja Dunia


Oleh Jumiati Rosly
jumiati@bharian.com.my
2011/08/05


Arfy, Hamdan galas cabaran negara di Moscow

MENJALANI latihan seperti biasa di bulan puasa, skuad pelapis berbasikal negara terpaksa berkorban menjelang persiapan ke Kejohanan Trek Remaja Dunia di Moscow, 17 hingga 21 Ogos ini.
Jurulatih skuad pelapis, Suod Hussain berkata, latihan di gimnasium pada sebelah pagi berselang seli dengan kayuhan di trek dan lebuh raya menjadi jadual harian dua pelumba - Mohd Arfy Qhairant Amran dan Hamdan Hamidun yang tersenarai ke Russia.
“Kedua-dua pelumba kini bebas daripada sebarang kecederaan dan latihan berjalan seperti biasa biarpun Ramadan. Saya perhatikan Arfy yang baru pulang menjalani latihan di Melbourne minggu lalu, berada pada prestasi baik terutama daripada aspek ketahanan,” katanya mengenai skuad negara yang bertolak Sabtu depan.

Arfy yang terkandas pada pusingan awal acara pecut dan keirin di Kejohanan Trek Remaja Dunia di Itali, tahun lalu, dijangka menyertai tiga acara - 200m pecut, keirin dan 1 kilometer ujian masa individu manakala Hamdan bakal menyertai perlumbaan mata, perlumbaan scratch, kejar-mengejar individu dan jika berkesempatan, acara omnium.

“Ini adalah pendedahan terbaik bagi kedua-dua pelumba yang baru berusia 18 tahun ini menjelang menyertai acara peringkat senior tahun depan. Jika mereka menunjukkan prestasi baik, mereka berkemungkinan akan menyertai Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Kuala Lumpur, Oktober ini,” katanya.

Friday, August 5, 2011

ISSI kurang senang PKBM hantar barisan kedua

TINDAKAN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang merancang menyenarai hanya pelumba pelapis untuk menyertai acara trek pada Sukan Sea 2011 di Indonesia jelas mengundang rasa gundah negara tuan rumah temasya dwitahunan itu.

Ketua Umum Ikatan Sepeda Sport Indonesia (ISSI) Phanny Tanjung khabarnya sudah bertemu Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab bagi menyuarakan keinginan mereka untuk melihat senarai nama pelumba besar seperti pemenang pingat emas Sukan Asia 2010 di Ghuangzhou, China; Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng yang merupakan pemenang pingat emas di Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.


Abu Samah menegaskan betapa ISSI dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea 2011 (Inasoc) sudah meminta PKBM agar memikir semula perancangan hanya menyenarai pelumba pelapis untuk menyertai acara trek yang bakal diadakan di Jakarta, Indonesia.

“ISSI menegaskan Indonesia sudah berkompromi dengan menyenaraikan enam acara baru termasuk 200 meter pecut. Mereka awalnya tidak menyenaraikan acara ini sehingga menerima teguran dan ancaman daripada Persekutuan Lumba Basikal Asia (ACC).


“Antara saranan awal tuan rumah ialah semua negara mesti menghantar pelumba terbaik dalam semua acara dipertandingkan. Indonesia tahu Malaysia mempunyai dua pelumba trek yang bertaraf dunia iaitu Azizulhasni dan Josiah.


“Namun kita juga ada pelumba trek yang baik dan juga bertaraf dunia seperti Mohd Rizal Tisin dan Mohd Edrus Md Yunos. Bagaimanapun terpulanglah kepada ketua jurulatih (John Beasley) untuk tentukan senarai pelumba ke Indonesia nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Abu Samah yang merupakan Delegasi Teknikal untuk acara basikal Sukan Sea 2011 lantikan ACC menegaskan Malaysia sentiasa memandang tinggi kualiti temasya dwitahunan tersebut dan permintaan ISSI serta Inasoc itu akan ditangani dengan penuh hemah.

‘Kita banyak pilihan’

Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

BIARPUN tanpa kehadiran Olahragawan 2010 negara, Azizulhasni Awang di Sukan Sea Palembang, Ketua Pengarah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong tetap yakin kemampuan barisan muda negara menyapu bersih pingat emas ditawarkan.

Lima emas disasarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) juga dilihat mampu digapai dengan mudah dengan jumlah itu pasti mampu ditambah.


Melihat kepada perkembangan skuad negara, Zolkples berkata, pendekatan yang digunakan iaitu menghantar ramai altet berlatih di luar negara seperti di Melbourne sudah menampakkan pulangan hasilnya.

“Pembangunan sukan berbasikal kita begitu berjaya. Kita mempunyai terlalu banyak pilihan. Begitu ramai pelumba pelapis. Sekarang ini harapan tidak lagi diletakkan kepada Azizulhasni Awang mahupun Josiah Ng saja. “Saya amat yakin, jumlah lima emas yang disasarkan itu pasti mampu ditambah oleh skuad trek negara tapi mungkin dalam acara lebuh raya ia dilihat sedikit sukar kerana tuan rumah akan membuat pelbagai cara yang memihak kepada mereka.” katanya. Beliau berkata, antara nama yang dikenal pasti terdiri daripada Rizal Tisin, Mohd Arfy Qhairant Amran, Mohd Fattah Amri Zaid dan beberapa nama lain termasuk pelumba wanita, Jupha Somnet (gambar). Sebanyak enam acara trek dipertandingkan di Sukan Sea, Palembang selepas dipersetujui oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) dan Konfederasi Basikal Asia (ACC).


Antara acara yang dipertandingkan untuk lelaki adalah 10km scratch, 4km kejar mengejar individu dan berpasukan, 40km perlumbaan mata, pecut individu dan omnium manakala acara wanita, pecut individu dan berpasukan, 5km scratch, 500m ujian masa, 25km perlumbaan mata dan omnium.


Zolkples turut memaklumkan, senarai pelumba yang akan beraksi di Sukan Sea sudah dikenal pasti oleh ketua jurulatih negara, John Beasley dengan nama pelumba terpilih akan diumumkan September ini.

“Pemilihan sudah buat. Mungkin akan ada beberapa penukaran di saat akhir nanti. Namun segala pemilihan termasuk menyenaraikan pelumba pelapis di Sukan Sea dipersetujui oleh Beasley,” katanya.

Basikal mampu raih lebih 5 emas Sukan SEA

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Zolkples Embong

KUALA LUMPUR - Ketiadaan pelumba harapan seperti Azizulhasni Awang dan Josiah Ng langsung tidak merisaukan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai pungutan pingat daripada acara tersebut di Sukan SEA 2011.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong, acara berbasikal dijangka cemerlang memberi sumbangan pingat emas lebih daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu sebanyak lima pingat emas oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

"Ini membuktikan kita tidak hanya bergantung kepada Azizulhasni dan Josiah sahaja malah kita mempunyai pelumba muda berbakat seperti Mohd. Arfy Qhairant Amran yang perlu lebih banyak pendedahan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Jelasnya, bukan sahaja dalam acara trek, malah MSN juga diberi harapan tinggi oleh jurulatih lebuh raya, Graham Seers bahawa anak buahnya juga mampu untuk menyumbang pingat emas walaupun bakal mendapat tentangan sengit daripada pelumba tuan rumah.

"Graham ada bertemu saya dan menyatakan dia sangat yakin anak buahnya mampu menghadiahkan pingat emas buat Malaysia walaupun tuan rumah mempunyai kelebihan dari pelbagai faktor termasuk laluan.

"Apa yang dicakapkan oleh Graham itu ada memang betul kerana kita mempunyai pelumba muda dalam acara lebuh raya yang berpotensi termasuk Mohd. Adiq Hussainie Othman jadi saya percaya kita mampu meraih lebih daripada lima emas," katanya.

Bagaimanapun, Zolkples berkata, dia masih belum pasti sama ada ketua jurulatih negara, John Beasley akan membuat perubahan di saat akhir.

"Saya juga yakin dengan kemampuan mereka selepas diberi pendedahan yang banyak termasuk menjalani latihan di Melbourne, ia memberi impak yang besar kepada sukan berbasikal negara," katanya.

Enam acara akan diadakan di Sukan SEA 2011 selepas mendapat lampu hijau daripada Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) dan Konfederasi Basikal Asia (ACC).

Ia melibatkan acara untuk lelaki adalah 10km scratch, 4km kejar mengejar individu dan berpasukan, 40km perlumbaan mata, pecut individu dan omnium manakala acara wanita, pecut individu dan berpasukan, 5km scratch, 500m ujian masa, 25km perlumbaan mata dan omnium.

Tuesday, August 2, 2011

Atlet angkat berat masih berpeluang ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR - Atlet angkat berat yang tidak berada dalam skuad elit atau pelapis negara, masih berpeluang mewakili Malaysia ke Sukan SEA di Indonesia November ini, jika mencatatkan rekod yang baik pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan Sirkit 2 bulan depan.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Zafarul Akbar Kassim berkata, PBAM mahu memberi peluang kepada atlet bukan pilihan beraksi pada temasya itu, meskipun senarai atlet yang bakal bertanding pada Sukan SEA telah siap.

Zafarul berkata, keputusan itu susulan beberapa atlet bukan pilihan yang membuat kejutan pada kejohanan sirkit pertama di Bangi, Selangor.

"PABM melihat ini satu perkembangan yang baik dan melalui penganjuran Sirkit 2 mungkin ada atlet yang layak diserapkan dalam skuad negara untuk bertanding pada Sukan SEA ke-26," katanya.

Zafarul berkata, Majlis Olimpik Malaysia juga membenarkan PABM menganjurkan Sirkit 2 sebagai kejohanan kelayakan ke Sukan SEA, yang harus diadakan sebelum 25 September iaitu tarikh akhir senarai atlet dihantar.

"PABM tidak mengira sama ada atlet tersebut adalah atlet elit ataupun atlet pelapis, sesiapa yang menunjukkan prestasi terbaik akan ada tempat dalam skuad kebangsaan," katanya. - Bernama