Sunday, April 28, 2013

Penantian makin buahkan hasil

Metro
28 April 2013
Oleh NOR HAIRULNIZAM WAHID

Kuala Lumpur: Selepas enam tahun penubuhan Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) dengan misi untuk melahirkan kelompok atlet pelapis yang mampu menggantikan atlet elit ke pentas antarabangsa, adakah misi itu sudah berjaya dicapai?

Keinginan untuk melihat pengganti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David mahupun mencipta ramai jaguh baru nampaknya makin mendesak, apatah lagi dengan tuntutan pelbagai kejohanan yang sentiasa mahu diperbaiki pencapaiannya.


Trend itu mula ketara selepas Sukan Asia Doha 2006 apabila pencapaian kontinjen negara pada temasya sukan antarabangsa sentiasa meningkat dan diperbaiki.

"Sejak penubuhan Cawangan Pelapis pada 2007 hingga sekarang, banyak yang sudah dicapai," kata Pengarah Cawangan Pelapis MSN, Jefri Ngadirin.


"Apa yang pasti kemasukan atlet pelapis ke elit semakin meningkat. Berdasarkan rekod 34 atlet menyertai elit pada 2010, 37 (2011), 39 (2012) dan setakat ini pada tahun ini, seramai 36 orang atlet pelapis sudah bergelar atlet elit negara. Kita menjangkakan 40 atau 41 atlet akan menyertai skuad elit.


"Malah atlet pelapis turut memberi sumbangan kepada kontinjen negara ke Sukan SEA. Setakat ini, untuk Sukan SEA Myanmar dua atlet olahraga dan seorang atlet menembak sudah melayakkan diri.

"Dari segi itu, boleh dianggap matlamat penubuhan sudah berjaya dicapai." Melihat nama seperti Arrico Jumith dan Mohd Hafifi Mansor (angkat berat), Haziq Kamarudin (memanah), Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (menembak), Siti Zubaidah Adabi (olahraga), Chong Wei Feng (badminton) serta Muhd Arfy Qhairant Amran dan Ummi Hamimah Mohamad (berbasikal), sudah membuktikan program yang diatur berada di landasan tepat.


Begitupun, itu tidak bermakna penambahbaikan tidak boleh dilakukan. Menurut Jefri, beliau mengharapkan lebih banyak kejohanan diadakan untuk memperbaiki prestasi atlet.

Mengakui berpuas hati dengan pertandingan di peringkat antarabangsa, begitupun beliau mahu lebih banyak kejohanan dianjurkan di peringkat tempatan. Ada persatuan hingga kini masih belum menganjurkan sebarang pertandingan.


"Persatuan perlu mengambil inisiatif untuk menganjurkan kejohanan kerana dengan cara itu atlet boleh diberikan pendedahan dan meningkatkan potensi mereka," katanya yang juga pada masa sama mahu melihat lebih ramai jurulatih tempatan dilahirkan.


Selain kekal dengan 19 sukan teras di bawah program pelapis, pihaknya turut memberi bantuan untuk sukan lain membangunkan program atlet pelapis mereka.


"Antara sukan yang turut diberi perhatian adalah lawan pedang dan judo. Selain itu dua atlet turut dikenal pasti dalam acara menembak skeet dan trap yang berpotensi untuk menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya.