Harian Metro
2/2/2013
Atlet dapat bimbingan percuma
Melaka: Seramai 107 peserta berusia antara tujuh hingga 18 tahun menyertai sesi pemilihan Program Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (USPTN) Melaka yang berlangsung di Pusat Bowling Antarabangsa Melaka (MIBC), Ayer Keroh baru-baru ini.
Daripada jumlah itu, hanya 25 pemain bakal menyertai program anjuran Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) itu yang akan dibentuk sebagai pemain pelapis negeri dan negara pada masa depan.
Pengarah MSNM, Ismail Abdol Jalil berkata, pemilihan itu memberi ruang kepada semua peserta membuktikan kewibawaan merebut tempat terhad yang disediakan.
"Atlet yang terpilih bakal dibimbing secara percuma dan sistematik oleh jurulatih bertauliah bagi melahirkan lebih ramai atlet terbaik bowling.
"Pemilihan ini penting bagi memastikan tiada bakat berkebolehan tercicir kerana hanya yang terbaik saja akan disenaraikan.
"Keputusan peserta yang berjaya akan diketahui tidak lama lagi dan jadual program juga akan disusun bagi memantapkan pengisian latihan," katanya.
Sementara itu, beliau juga turut mempelawa orang ramai yang berminat menyertai dan mencuba sukan memanah di Pusat Sukan Memanah MSNM, Ayer Keroh.
"Remaja turut digalakkan menyertai sukan ini dan berpeluang terpilih mewakili Melaka di Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014."
No comments:
Post a Comment