Monday, February 13, 2012

Ummi realisasi satu pingat kategori remaja

DARIPADA tiga wakil negara yang beraksi dalam acara akhir keirin di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) kategori remaja, hanya Ummi Hamimah Mohamad merealisasikan satu pingat buat kem negara.

Susuk tubuhnya yang kecil jika dibandingkan dengan pelumba Korea, dua pelumba Taiwan dan seorang dari Hong Kong tidak menghalangnya daripada menyumbang pingat buat negara.

Bagaimanapun Ummi terpaksa akur dengan kehebatan pelumba Korea, Kim Sola yang merangkul emas manakala gangsa diraih rakan senegaranya, Oh Hyeon Ji.

Biarpun kecewa kerana kehilangan dua emas iaitu dalam acara keirin dan pecut, Ummi mengakui apa yang ditempuhinya di ACC kali ini pengalaman berharga.

“Memang sedih, tapi saya berpuas hati dengan apa yang dicapai kali ini. Mungkin kerana saya seorang saja wakil negara, maka agak sukar untuk saya merancang strategi. “Dua pelumba Korea itu memang dari mula lagi sudah mengawal perlumbaan. Saya pula sering dihimpit tapi itu tidak menghalang saya. Saya hanya mengikut saja dan tiba masanya barulah saya membuat pecutan,” katanya yang menunggu peluang untuk menjalani latihan di luar negara.

Sementara itu, dalam kategori remaja keirin lelaki, dua wakil negara Muhammad Fauzan Nor Azman dan Malek Marcus McCrone gagal menggunakan kesempatan terluang apabila gagal merangkul sebarang pingat.

Acara itu dimenangi pelumba Jepun, Ryohei Taniguchi dan Hiroto Shimizu yang masing-masing meraih emas dan perak, manakala gangsa milik Wang Ji Hyeon dari Korea Selatan.


Kem remaja negara yang membawa pulang tiga perak dan empat gangsa, gagal mengulangi pencapaian di Korat tahun lalu apabila mereka memenangi satu emas, enam perak dan satu gangsa.

No comments:

Post a Comment