Friday, February 10, 2012

Kayuhan emas pertama

Oleh Aida Adilah Mat
aida@metro.com.my

BIARPUN hanya sebagai pelumba bidang terjun yang dipilih di saat akhir, Muhammad Edrus Md Yunos tetap mempamerkan kayuhan mantap untuk bangkit menutup kritikan terhadapnya apabila menghadiahkan emas pertama negara di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), semalam.

Berpangkalan di Melbourne, Edrus bertekad memberikan yang terbaik biarpun masih kepenatan kerana terpaksa menempuh pusingan repecharge pada sesi sebelah pagi dalam acara pecut.

Edrus merekodkan 0.439s lebih pantas untuk menghadiahkan emas acara 1 kilometer ujian masa sekali gus mengatasi naib juara dari Iran, Mahmoud Parash yang mencatatkan 1:06.986s dan Wu Lok Chun dari Hong Kong, 1:07.862s.

“Gembira dan terkejut sebab sudah lama saya tidak menyertai acara ini tapi mungkin tiada tekanan dan sokongan daripada kawan serta penyokong meniup semangat saya untuk melakukan yang terbaik.

“Ketiadaan jaguh China seperti Zhang Miao dan pelumba Jepun yang tidak memberikan tumpuan dalam acara ini kerana ia tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik memberi kelebihan buat saya menyumbangkan pingat pertama negara,” katanya yang merekodkan 1:06.547s untuk memperbaiki catatan terbaik miliknya di velodrom terbuka.

Kejohanan yang memasuki hari kedua di velodrom Cheras, Kuala Lumpur turut menyaksikan pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa terlebih dulu menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 500m ujian masa wanita elit.

No comments:

Post a Comment