PINGAT emas yang diperoleh dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke-32 pasti meninggalkan memori indah buat Fatehah Mustapa kerana berjaya menamatkan penantian lima tahun.
Ratu pecut negara itu berjaya mencelah di selekoh terakhir untuk menewaskan pelumba China, Xu Yulei yang merangkul perak dan pelumba Hong Kong, Lee Wei Sze, gangsa.
Fatehah melengkapkan saingan di Kejohanan ACC yang menutup tirai di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur, semalam, dengan membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa.
“Ini hadiah untuk John (Beasley) dan semua. Mereka memberikan saya semangat luar biasa hari ini untuk membuat kayuhan terbaik bagi merangkul emas pertama saya di ACC.
“Saya cukup gembira dan sangat berpuas hati. Sudah tiga tahun saya tidak menang emas keirin, asyik dapat perak dan gangsa. Emas ini cukup bermakna buat saya,” katanya yang kali terakhir merangkul perak acara keirin di ACC Nara, Jepun pada 2008.
Berusia 23 tahun, Fatehah memulakan kayuhan mengikut apa yang dirancang Beasley dan tuah terus mengiringinya apabila diundi pada permulaan saingan untuk berada di belakang Wei Sze yang juga pilihan untuk memenangi acara itu.
“Saya gembira kerana diundi di belakang Wei Sze. Memang itu yang saya sasarkan. Saya hanya perlu berada di belakangnya dan biar dia yang buat kerja terlebih dulu.
“Ketika itu, Wei Sze pula sentiasa memerhatikan Yulei, jadi memang satu kelebihan kepada saya apabila Wei Sze lebih banyak bekerja. “Apabila mendengar loceng dibunyikan, saya menggunakan sepenuh tenaga untuk membuat kayuhan terbaik dan bersyukur apa yang dirancang menjadi kenyataan,” katanya.
Kemenangan itu memberikan kelebihan yang cukup selesa buat pelumba kelahiran Terengganu itu melayakkan diri ke Sukan Olimpik London.
Dia kini berada di kedudukan kedua Asia di belakang pelumba China, Guo Shuang, meninggalkan Wei Sze di tempat ketiga dengan jurang mata yang jauh.
No comments:
Post a Comment