Saturday, February 11, 2012

Cetek pengalaman punca pelumba remaja putih mata

Harian Metro
11.02.2012

SKUAD remaja negara menyumbangkan satu pingat perak dan dua gangsa pada saingan hari ketiga Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun episod berbeza dialami skuad remaja berbanding dengan barisan senior apabila cetek pengalaman menjadi faktor menyekat mereka menempah nama sebagai jaguh remaja Asia di laman sendiri.


Malaysia hampir menyumbang satu emas, namun kesilapan Ummi Hamimah Mohamad dalam acara pecut mengakibatkan terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua.

Dia yang gagal mengawal kekecewaan hingga mengalirkan air mata selepas tewas perlumbaan itu mengaku kesilapan taktikal punca kegagalannya pada penyertaan pertama di ACC.


"Saya tersilap taktik. Pada pusingan pertama saya gunakan gear berat. Saya bangkit di perlumbaan kedua untuk mengikat kedudukan. Ketika perlumbaan penentuan, saya sekali lagi tersilap taktik, jurulatih saya (Suod Hussain) sudah memberi tahu apa yang sepatutnya saya buat tapi mungkin kerana terlalu gemuruh saya tidak dapat berfikir menyebabkan saya hilang kawalan," katanya.


Ummi, 18, tewas kepada An Hyeji dari Korea manakala gangsa dimenangi Kim Sola juga dari Korea yang menewaskan Eva Lauretta Adrian.


Sementara itu, dua gangsa disumbang pasukan pecut lelaki yang dibarisi Muhmmad Fauzan Nor Azman, Malek Marcus Mccrone dan Muhammad Asri Suraizi Mat Riadzi dan Eva dalam acara 500 ujian masa.

No comments:

Post a Comment