SKUAD berbasikal remaja negara yang turun beraksi di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) terlepas peluang keemasan untuk membawa pulang dua pingat pada saingan hari pertama di Velodrom Cheras, semalam.
Pelumba remaja yang turun dalam acara kejar mengejar individu lelaki menerusi Muhammad Firdaus Suardi dan pelumba wanita, Noor Azian Maslin Sazali hampir menghadiahkan dua pingat gangsa namun percaturan strategi yang salah mengakibatkan mereka terpaksa berputih mata.
Jurulatih skuad remaja, Soud Hussain berkata, dua pelumba itu berada dalam posisi terbaik untuk mendapatkan pingat namun permulaan yang terlalu berhati-hati menyebabkan mereka tertinggal jauh.
“Dua pelumba itu memang disasarkan pingat tapi mereka tersalah strategi menyebabkan mereka terlepas peluang. Mereka seharusnya mendapatkan kelajuan maksimum sebelum bertenang dan perlu melihat arahan daripada saya tapi ketika menyedari arahan itu semuanya sudah terlambat,” katanya.
Hari ini skuad remaja negara mempertaruhkan empat pelumba untuk membawa pulang pingat dalam acara kejar-mengejar berpasukan. Mereka membabitkan Muhammad Firdaus, Mohd Firdaus Abdul Karim, Mohd Faiz Ibrahim dan Loh Gi Meng.
Begitupun, skuad negara bakal berdepan cabaran sengit daripada Hong Kong, Korea dan China selain Iran yang turut menyenaraikan pelumba terbaik.
No comments:
Post a Comment