Friday, February 10, 2012

Dua bekas pelapis sertai latihan ke China

Oleh Wan Noriza Meor Idris
wannoriza@nstp.com.my

DUA pelapis wushu negara, Tai Cheau Xuen dan Kevan Cheah Peng Heng kini diberi kepercayaan ke skuad elit selepas cemerlang meraih pingat emas di Sukan Sea Indonesia, tahun lalu.

Jurulatih kebangsaan, Yoong Thong Foong berkata, selain mempamerkan aksi konsisten di medan latihan, kepercayaan itu disandarkan kepada Cheau Xuen dan Kevan selepas meraih pingat emas disiplin Nandau dan Nangun.


“Dengan kedua-duanya kini dinaikkan taraf ke skuad elit, saya optimis skuad elit makin kukuh dengan dua muka baru yang hebat dan berbakat besar.

“Justeru, Cheau Xuen dan Kevan akan turut dihantar menjalani latihan bersama skuad elit di China pertengahan bulan depan,” katanya selepas sesi latihan, semalam.


Mengulas lanjut, ketiadaan Cheau Xuen dan Kevan, skuad pelapis kini hanya dibarisi lima atlet dan pihaknya akan mencari muka baru dalam masa terdekat.


“Kami sudah memilih enam atlet baru tapi mereka masih dipantau. Hanya yang terbaik akan dipilih berdasarkan prestasi di Sukan Malaysia (Sukma).


“Disebabkan wushu tidak tersenarai ke Olimpik 2012, kami miliki lebih masa untuk menilai serta membimbing ramai muka baru untuk diserap ke skuad pelapis,” katanya.

No comments:

Post a Comment