UTUSAN/Mohd Najib Mohd Nor
PUTRAJAYA - Pelumba remaja lelaki lebuh raya, Ahmad Firdaus Abdul Karim terlepas untuk meraih pingat dalam acara ujian masa individu Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 di sini selepas melakukan kesilapan ketika di garis permulaan.
Menurutnya, dia tidak berpuas hati dengan prestasinya terutama sekali selepas melakukan kesilapan pada permulaan perlumbaan dan hanya menduduki tempat keenam dengan catatan masa 35 minit 46.630 saat.
"Silap pada permulaan tersebut menyebabkan saya menghabiskan masa selama seminit sebelum berlepas, jika tidak mungkin saya mampu untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa atau perak," katanya kepada media selepas tamat perlumbaan, semalam.
Perlumbaan tersebut dimenangi oleh Leung Chun Wing dari Hong Kong (33:44.846s), manakala tempat kedua dimenangi Hiroki Nashimura dari Jepun yang melakukan masa 34:23.912s dan Robert Gaineyev dari Kazakhstan meraih gangsa (35:18.322s).
Jelasnya, akibat kesilapan tersebut dia menjadi panik dan berlumba dalam keadaan yang tidak selesa, menyebabkan masa catatannya agak ketinggalan berbanding pelumba yang memenangi pingat serta beberapa pelumba yang berada lebih baik dari kedudukannya.
"Ini akan menjadi pengajaran buat saya, mungkin kerana pertama kali menyertai kejohanan ini. Saya akan cuba menebusnya pada perlumbaan lebuh raya," kata pelumba berusia 18 tahun kelahiran Alor Setar, Kedah itu.
Punca kelewatan Ahmad Firdaus itu dikatakan kerana selepas melakukan pemeriksaan basikal, dia sepatutnya perlu meninggalkan basikalnya di tempat permulaan bagaimanapun dia tidak berbuat demikian menyebabkannya terpaksa melakukan pemeriksaan buat kali kedua.
Sementara itu, jurulatihnya, Graham Seers mengakui bahawa telah melakukan kesilapan dan tidak memberi nasihat kepada Ahmad Firdaus tentang apa yang sepatutnya dia buat sebelum memulakan perlumbaan.
"Ini adalah kesilapan kami sendiri, sepatutnya selepas menghantar basikal untuk diperiksa, Ahmad Firdaus perlu melakukan sesi memanas badan dengan basikal lain apabila sudah bersedia barulah ke garisan permulaan," katanya.
No comments:
Post a Comment