Thursday, February 9, 2012

Harian Metro - Azizul, Fatehah mantap

Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

BARISAN pelumba Road To London, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa tidak berdepan masalah mara ke suku akhir acara pecut pada saingan hari pembukaan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), semalam.

Terkejut dengan catatan masa dilakar pada pusingan kelayakan yang berlangsung di sebelah pagi, Azizul kini berada dalam momentum terbaik membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat. Azizul melakar 10.39s pada kelayakan, satu pencapaian luar jangkaan berdasarkan tahap prestasi semasanya.

“Saya tidak sangka dapat melakarkan catatan itu. Ia satu petanda baik kerana pada mulanya saya hanya mensasarkan 10.5s,” katanya. Kemenangan itu membolehkan Azizul yang menewaskan pelumba Iran, Ahmad Asgharpourdarabi menempah tiket ke suku akhir menentang pelumba Jepun, Kazunari Watanabe.

Mengulas pertemuan menentang jaguh Jepun itu, Azizul menganggap perlumbaan itu sama seperti perlumbaan akhir berdasarkan rekod pertemuan mereka.

“Saya sering bertemu Watanabe. Ia pasti sengit. Saya perlu lebih fokus dan tidak boleh main-main. Jika boleh saya mahu mara ke penentuan 1-2. Selepas enam tahun tidak berlumba di Malaysia, saya mahu memberi yang terbaik di depan penyokong sendiri,” katanya.

Kali terakhir dua pelumba itu bertemu di ACC, Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UEA) dua tahun lalu yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Watanabe yang kini berusia 28 tahun berbanding Azizul, 23.

No comments:

Post a Comment