Friday, February 10, 2012

Edrus sambar emas pertama

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Edrus Yunus (tengah) bersama pemenang pingat perak dari Iran, Mahmoud Parash (kiri) dan pemenang gangsa Wu Lok Chun dari Hong Kong di atas podium pada ACC 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Hari kedua Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 disinari dengan kejayaan emas pertama negara menerusi Edrus Yunus dalam acara satu kilometer ujian masa individu semalam di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.

Kejayaan pelumba berpangkalan di Melbourne itu mengulangi pencapaian Rizal Tisin yang turut memenangi emas acara yang sama di Korat, tahun lepas.

Edrus mencatat masa satu minit 6.547 saat, mengetepikan pelumba Iran, Mahmoud Parash (1:06.986s) manakala gangsa diraih Wu Lok Chun dari Hong Kong (1:07.862s).

Menurut Edrus, sebelum perlumbaan dia berasa agak penat kerana bertarung dalam saingan repacharges pecut yang diganjak pada awal pagi semalam akibat hujan kelmarin.

"Bagaimanapun selepas perlumbaan tersebut saya mendapatkan urutan dan fikir untuk beraksi sebaik mungkin walaupun masih kepenatan, ternyata ia membuahkan hasil dengan memenangi emas," katanya selepas tamat perlumbaan semalam.

Jelasnya, dia amat terkejut kerana memenangi emas selepas sudah lama tidak mengambil bahagian dalam acara tersebut kerana ia bukanlah berada dalam sasarannya.

"Saya hanya meletakkan sasaran untuk memenangi pingat tanpa mengira warna tetapi saya berjaya meraih emas, mungkin kerana tidak ada tekanan yang menyebabkan saya mampu meraih kejayaan ini.

"Ketiadaan pelumba China, Zhang Miao mungkin memberi ruang terbuka buat saya untuk meraih emas, ketika acara ini kurang mendapat tumpuan kerana tidak dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2012 London," katanya.

Di sebalik kemenangan tersebut Edrus juga boleh dianggap sebagai bidan terjun kerana sepatutnya acara itu diwakili oleh Rizal namun atas sebab kerja, peluang diberikan kepadanya.

"Selepas John (Beasley) membuat keputusan seminggu sebelum acara ini bahawa saya akan mengambil bahagian dalam acara ini jadi saya bersedia untuk melakukan yang terbaik hasilnya saya berjaya meraih emas," katanya.

No comments:

Post a Comment