KUALA LUMPUR: Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) Sumatera Utara akan menghantar atlet pelapis mereka untuk menjalani latihan dan pertandingan di negara ini dalam persiapan menghadapi Sukan SEA ke-26 di Indonesia pada November ini.
Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata permintaan daripada KONI Sumatera Utara itu disampaikan oleh Ketua Olahraga Sumatera Utara, Ristanto yang berada Malaysia selama empat hari sejak Sabtu lepas.
"Mereka kagum dengan kemudahan di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil serta program cawangan pelapis. Mereka mahu menjalin kerjasama daripada segi latihan dan pertandingan dengan Malaysia," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.
Jefri berkata menurut Ristanto, enam atlet pelapis dari wilayah Sumatera Utara telah dikenal pasti untuk menyertai kontinjen Indonesia ke Sukan SEA yang akan diadakan di Jakarta dan Palembang dari 11-25 Nov ini.
Atlet dari Wilayah Sumatera Utara terkenal dengan kehebatan dalam acara karate, tinju dan olahraga dan Malaysia harus mengambil kesempatan tersebut untuk berlatih dan bertanding dengan mereka, katanya.
Beliau berkata faktor jarak yang dekat antara Malaysia dan Sumatera Utara juga akan mengurangkan kos latihan atlet pelapis Malaysia untuk latihan luar negara. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment