Sinar Harian
17 Mei 2011
SENAI – Pasukan pelapis Sepak Takraw Johor mencatat sejarah tersendiri apabila membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada Karnival Sukan Pelapis Sirkit 1/2011 yang melabuhkan tirainya kelmarin.
Karnival yang berlangsung di Kelantan itu menyaksikan kontinjen Johor menghantar empat pasukan pelapisnya untuk memberi cabaran sengit kepada kontinjen negeri lain.
Pegawai Pembangunan Negeri, Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Johor, Edzamry Ambia berkata, kejohanan kali ini adalah pencapaiang terbaik pernah dilakarkan skuad pelapis negeri Johor.
Menurutnya, kerjasama dan bantuan yang diberikan Persatuan Sepak Takraw Johor dan Majlis Sukan ngeri Johor nyata membuahkan hasil.
"Kita menghantar empat pasukan iaitu, Johor Pelapis, Johor SSTMI A, Johor SSTMI B dan Johor Segamat, keempat-empat pasukan ini menyertai kejohanan sebagai satu kontinjen walaupun bukan datang dari pusat latihan yang sama," katanya.
Katanya, dua emas itu diperoleh hasil daripada dua pasukannya yang berjaya menjuarai pertandingan berkenaan dalam dua kategori berbeza iaitu kategori bawah 18 tahun yang diwakili regu Johor Pelapis dan kategori bawah 21 tahun yang diwakili Johor SSTMI A.
"Regu bawah 18 tahun kita mempamerkan aksi terbaik untuk mengetepikan pasukan Melaka yang memberi cabaran sengit buat buat pasukan kita, namun hasil dari komitmen setiap pemain kita berjaya merangkul emas.
"Pasukan Johor SSTMI A yang bertanding dalam kategori bawah 21 mempunyai pemain berpengalaman yang sudah bermain bersama pusat latihan itu selama lima tahun, jadi tiada masalah buat pasukan itu untuk membawa pulang pingat emas," katanya.
Katanya, berbanding tahun lalu, pencapaian kali ini amat membanggakan kerana pasukan Sepak Takraw tidak pulang dengan tangan kosong berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Saya berharap pasukan Sepak Takraw Pelapis Johor akan mengekalkan kejuaraan dan prestasi ini pada tahun akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment