Ahad 15 Mei 2011
JIKA misi mengulangi pencapaian di Sukan Sea Laos mahu dilakar di Indonesia, nampaknya dua peninju emas, Mohd Farkhan Mohd Haron dan Mohd Fairus Azwan Abdullah perlu memperkemaskan langkah mulai sekarang.
Kedua-dua peninju terkulai seawal pusingan pertama di Sukan Arafura, berbanding Mohd Fuad Mohd Redzuan dan Mohd Subrie Khamis yang berjaya membawa pulang dua pingat emas, kelmarin, menumpaskan lawan masing-masing dari Papua New Guinea.
Mohd Farkhan tewas kepada peninju kebangsaan New Zealand, Black Burn Joseph manakala Mohd Fairus tumbang kepada pemenang pingat emas Sukan Remaja Olimpik, Damian Hooper dari Australia.
Begitupun, ketua kontinjen negara Mohd Safrushahar Yusoff mengaku saingan kompetitif yang ditawar Sukan Arafura menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) sanggup menghantar atlet tinju ketika saingan acara lain dianggap kurang mencabar.
"Kejohanan ini diiktiraf Persatuan Tinju Antarabangsa (AIBA) dan disertai ramai peninju handalan dunia.
"Peninju Indonesia turut menyertai kejohanan untuk proses pendedahan dan pemilihan ke Sukan Sea, November ini. Ia juga turut disertai peninju kebangsaan dan negeri Australia.
"Pemenang pingat gangsa Olimpik dari India, Vijender Singh turut mengambil bahagian. Tahap saingan sukan tinju kali ini lebih tinggi dan sesuai sebagai pendedahan buat atlet negara," katanya. Mengenai kekalahan Mohd Farkhan, beliau berkata, atlet berusia 22 tahun itu hanya mula menjalani latihan minggu lalu, justeru tidak banyak yang boleh dilakukannya meskipun latihan atlet elit bermula Mac lalu.
Begitupun, beliau yang juga Pengarah Cawangan Paralimpik MSN boleh tersenyum bangga dengan pencapaian anak buahnya apabila skuad ping pong paralimpik berjaya membawa pulang dua emas, dua perak dan dua gangsa.
Mohd Azwa Bakar memenangi pingat emas acara individu kategori T9 dan T10 dan berpasukan bersama gandingannya, Koh Zhi Liang juga dalam kategori T9 dan T10.
"Lebih penting ialah pungutan mata keseluruhan daripada kejohanan ini menentukan ranking dunia untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik London.
"Tarikh akhir kelayakan ialah 31 Disember ini dan kedudukan 16 terbaik untuk kelas T9 dan T10 dan ranking ke 18 untuk kelas T7 akan layak secara merit," katanya.
Skuad powerlifting bagaimanapun pulang tangan kosong namun angkatan mereka masih dikira untuk mengutip mata untuk ranking dunia bagi melayakkan diri ke London.
No comments:
Post a Comment