Tuesday, May 17, 2011

Karnival Pelapis gilap gimnas muda

17 Mei 2011
Oleh Wan Noriza Meor Idris
wannoriza@nstp.com.my

MESKIPUN gimnastik artistik lelaki disifatkan sedang berada di ambang kejatuhan, namun kini ia dilihat cuba bangkit dengan melahirkan lebih ramai pelapis berwibawa untuk menggalas cabaran mewakili negara suatu hari nanti.

Jurulatih skuad pelapis negara, Ahmad Akramin Othman, berkata pihaknya ketika ini sedang giat meninjau bakat baru untuk digilap ke dalam skuad pelapis kebangsaan secara berterusan.


"Dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN), minggu lalu, kami memanggil lapan bakat baru dari beberapa negeri yang dipilih dan daripada jumlah itu, saya memilih empat gimnas yang dilihat mampu diketengahkan.

"Dengan cara ini, sukan gimnastik tempatan khususnya dalam kategori lelaki tidak terus lesu, selari dengan jaminan saya yang mengatakan skuad lelaki akan pulih dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.


Arena sukan gimnastik artistik lelaki kehilangan atlet berwibawa selepas pengunduran gimnas secara berterusan bermula dengan Ng Shu Wai yang mencetuskan kontroversi pada 2007.


"Kami hilang ramai gimnas berwibawa selepas pengunduran hampir semua gimnas senior tapi masalah itu dapat diatasi dengan langkah mencari bakat baru dari setiap negeri.

"Kewujudan pelapis kebangsaan penting bagi meneruskan kesinambungan perjuangan atlet senior. Pemilihan seumpama ini memastikan sukan gimnastik tidak ketandusan bakat baru. Namun, ia perlu diteruskan dan sentiasa mendapat kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan hasrat itu berjaya," katanya.


Mengulas program kejohanan anak buahnya ketika ini, Akramin berkata, mereka sudah beraksi di saingan Karnival Pelapis di Kota Bharu, Kelantan pada 10 hingga 16 Mei (semalam).

"Seramai lima pelapis lelaki dan empat perempuan, semuanya berusia bawah 15 tahun beraksi buat kali pertama. Saya optimis skuad lelaki mampu membawa pulang dua pingat dengan satu antaranya kilauan pingat emas.


"Skuad pelapis dijangka menyertai lebih banyak kejohanan untuk pendedahan secara intensif," katanya.


Ditanya adakah kekurangan peralatan di gimnasium yang masih terbantut ketika ini merencatkan persediaan, Akramin berkata, buat masa ini mereka berlatih sementara di gimnasium Shah Alam.


"Atlet pelapis dibawa ke gimnasium Shah Alam tiga kali seminggu untuk menjalani latihan intensif kerana agak bahaya untuk mereka melakukan rutin sukar di gimnasium MSN. Setakat ini, prestasi mereka agak baik.


"Saya akan pastikan skuad pelapis digilap menjadi atlet elit terbaik suatu hari nanti sekali gus membuktikan jurulatih tempatan mampu membimbing pelapis hingga menjadi gimnas yang unggul," katanya.

No comments:

Post a Comment