Tuesday, May 24, 2011

Kerenah urusetia cacatkan Sukma Kedah

Isnin Jun 05, 2006


Ulasan ALOR STAR: Sukan Malaysia (Sukma) ke-11 yang berlangsung sejak dua minggu lepas akhirnya melabuhkan tirainya semalam di sebalik beberapa kontroversi yang mampu mencacatkan hasrat tuan rumah, Kedah menjadi penganjur terbaik.

Juara, Selangor bukan sahaja mempertahankan gelaran tetapi berjaya memenangi temasya dua tahun sekali itu sebanyak enam kali berturut-turut sejak 1996.

Selangor berjaya memperoleh 629 mata daripada kutipan 53 pingat emas, 44 perak dan 56 gangsa diikuti Sarawak di tempat kedua dengan 507 mata (36 emas, 42 perak, 55 gangsa) dan Pulau Pinang di tangga ketiga dengan mengumpul 480 mata (36 emas, 40 perak, 52 gangsa).

Tuan rumah menduduki tangga keenam di belakang Perak dan Pahang, dengan mengumpul 407 mata (30 emas, 34 perak, 37 gangsa).

Beberapa kontroversi timbul di sepanjang temasya itu, antaranya mutu pengadilan dalam acara kombat subjektif seperti wushu dikatakan menyebelahi tuan rumah, isu penyertaan bertindih yang melibatkan atlit renang Linvern Lim yang berasal dari Negeri Sembilan tetapi mewakili Kedah serta seorang atlit didapati positif menggunakan dadah terlarang.

Melihat kepada pencapaian sepanjang 12 hari temasya itu berlangsung di enam daerah di Kedah, hanya dua rekod kebangsaan berjaya diperbaharui, kedua-duanya dalam acara renang yang diadakan di Kompleks Akuatik Gunung Keriang.

Ratu renang Negeri Sembilan, Lew Yih Wey yang berjaya merangkul sembilan pingat emas memecah rekod kebangsaan pertama dalam temasya itu apabila mencatat masa dua minit 18 saat dalam acara 200m gaya Kuak Lentang, yang juga rekod baru Sukma.

Raja Azlina Izzah Raja Shahrom dari Selangor kemudian memperbaharui catatan rekod kebangsaan yang juga rekod baru temasya dalam acara 50m gaya Kuak Dada dengan masa 34.47 saat.

Skuad menembak Pahang pula berjaya menyamai rekod kebangsaan bagi kategori 50m SB Sports Rifle 3 position wanita dengan 1,678 mata.

Sebanyak 40 rekod baru Sukma juga berjaya diperbaharui iaitu angkat berat (12), menembak (10), renang (9) dan olahraga (9).

Pada Sukma di Negeri Sembilan, sebanyak sembilan rekod kebangsaan diperbaharui, tujuh dalam acara renang dan dua dalam olahraga, sementara 42 rekod temasya diperbaharui.

Melihat kepada pencapaian di Kedah yang merosot jika dibandingkan dengan di Negeri Sembilan, timbul tanda tanya adakah Malaysia kini menghadapi masalah untuk mencari pelapis berpotensi untuk mengambil alih tempat skuad senior negara?

Atau negeri lebih mementingkan kuantiti pingat yang dimenangi tanpa mempedulikan kualiti pelapis yang mampu dilahir, dengan menghantar kontinjen teramai untuk meraih seberapa banyak pingat bagi membolehkan mereka menjadi juara keseluruhan temasya.

Kementerian Belia dan Sukan yang menyedari masalah itu mahukan atlit-atlit yang menyertai Sukma di masa depan wajib melalui penapisan terlebih dahulu bagi memastikan standard mereka, dengan terlebih dahulu menyertai temasya sukan antara daerah yang akan diperkenalkan pada tahun ini.

Sudah sewajarnya setiap negeri yang diberi peluang menjadi tuan rumah temasya dua tahun sekali itu berhasrat menjadi penganjur terbaik.

Begitu juga dengan Kedah. Namun, sekretariat Sukma Kedah perlu belajar lebih banyak lagi, jika berpeluang untuk menganjurkan temasya sebesar atau lebih besar daripada Sukma.

Kedah seharusnya akur bahawa Sukma bukan hak negeri yang menganjurkannya.

Walaupun setiap tempat pertandingan dipenuhi penonton tempatan, masih ada peminat sukan dari 15 negeri lain yang mahu mengikuti dan mengetahui perkembangan kontinjen masing-masing.

Di sinilah peranan media massa yang cuba memberikan liputan terbaik bagi temasya itu.

Namun, pihak media telah dibiar dalam kecelaruan sejak seawal minggu pertama Sukma berlangsung, dengan jadual pertandingan yang tidak tersusun dan sering berubah-ubah tanpa sebarang notis awal dan tiada kemudahan penghantaran berita di tempat yang kecil dan agak jauh dari pusat media utama di bangunan Bina Darul Aman Berhad (BDB) di sini.

Sebagai contoh, venue bagi acara wushu di Kompleks Sukan Kriss di Gurun, kira-kira 50km dari Alor Star tidak dilengkapi sebarang kemudahan untuk menghantar berita.

Sekretariat venue di Gurun pula memberitahu, salinan keputusan hanya boleh diambil di BDB, 45 minit berkereta dari Kompleks Sukan Kriss.

Di sebalik kerumitan itu, ada di kalangan anggota Exco kerajaan negeri yang secara sinis mengatakan pihak media tidak perlu ke pusat kecil di venue lain kerana pusat media di BDB sudah mencukupi terutamanya dengan adanya laman web rasmi Sukma yang mampu menyalurkan maklumat terkini.

"Jelas anggota Exco terbabit kurang arif dan faham keperluan media. Jika mahu membuat liputan dari laman web sahaja, tidak perlulah kami berkampung di Kedah sepanjang dua minggu berlangsungnya Sukma."

Tuan rumah Sukma ke-12, Terengganu mempunyai masa dua tahun lagi untuk menganjurkan temasya di negeri yang menggunakan maskot ikan bernama 'Nemo'.

Tidak perlulah Nemo melaungkan mahu menjadi penganjur kelas satu jika karenah sekretariatnya kelak hanya sekadar kelas ketiga. BERNAMA

No comments:

Post a Comment