Tuesday, May 17, 2011

Pencapaian Kartik, Nur Farah diiktiraf

Oleh Nazri Abu Bakar

PEMENANG tiga pingat emas Sukan Malaysia (Sukma XIII), J Kartik dan penembak ranking keenam Kejohanan Dunia tahun lalu, Nur Farah Afiqah Mohd Taufekh dinobat Olahragawan dan Olahragawati Melaka 2010, semalam.

Kejayaan itu membolehkan mereka meraih wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob.


Atlet berbasikal negara, Muhd Arfy Qhairant Amran pula meraih gelaran Olahragawan Harapan selepas cemerlang meraih dua emas dan satu perak di Kejohanan Trek Asia di Kuala Lumpur, Jun tahun lalu.

Olahragawati Harapan pula diraih atlet gimnastik artistik negara, Tracie Ang berikutan kecemerlangannya meraih lima emas dan satu perak di Kejohanan Gimnastik Asean 2010 dengan masing-masing menerima RM1,000 piala iringan dan sijil.


Calon lain yang bersaing termasuk Mohd Taufek Ab Razak (silat) Loh Shee Fai dan Kawan Young Jing (bola keranjang), Ho Mun Hua dan Ong Shi Chuan (wushu), Ow Yao Han (badminton) Jonathan Wong (menembak) dan Ong Kun Xiong (judo).


Calon Olahragawati yang mencabar diketuai atlet wusyu negara, Chai Fong Ying, Rozira Abu (karate do), Norlizah Isthnin (silat), Fan Xiao Jun (ping pong), Goh Liu Ying (badminton), Nurul Sarah Kadir (olahraga) dan Sahron Wee Ee Lin (skuasy).

Nur Farah Afiqah tidak menyangka diumum pemenang berikutan saingan sengit calon tersenarai, namun yakin kejayaannya di Kejohanan Dunia di Jerman selain meraih emas Kejohanan Menembak Asia Tenggara di Jakarta menjadi ukuran pemilihan terbabit.


Di majlis sama, Pengurus Persatuan Bola Keranjang, Datuk Tan Kang Yong dan Pengurus Persatuan Gimnastik Amatur Melaka, Chu Ah Moy diumum Pengurus Terbaik manakala kategori Jurulatih Terbaik dimenangi jurulatih Persatuan Skuasy negeri, Mohd Roslan Hisam dan jurulatih Persatuan Renang Amatur Melaka, Fan Kow Jan.

No comments:

Post a Comment