Friday, May 20, 2011

Ju Pha tidak sabar mahu gegar Isle of Man

Utusan 20 Mei 2011

Ju Pha tidak sabar mahu gegar Isle of Man


Ju Pha Som Net (kiri) beraksi pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat, Februari lalu tersenarai dalam 26 anggota kontinjen negara ke Sukan Komanwel Remaja IV di Isle of Man, September ini.


KUALA LUMPUR - Pelumba basikal wanita negara yang sedang meningkat naik, Ju Pha Som Net sudah tidak sabar untuk membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel Remaja IV di Isle of Man pada September ini.

Menurut pelumba kelahiran Perlis itu, dia sekarang ini sedang menjalani latihan bagi acara lebuh raya untuk memperoleh keputusan yang cemerlang di sana kelak.

"Sekarang saya sedang memantapkan kayuhan bagi persiapan Sukan Komanwel Remaja. Saya berlatih enam hari dalam tempoh seminggu dan sehari enam jam mengikut program elit di bawah kendalian jurulatih lebuh raya, Graham Seers dan Soud Hussin," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia melalui laman web sosial Facebook, baru-baru ini.

Ju Pha yang memenangi empat pingat perak dan satu gangsa pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat, Februari lalu tersenarai dalam 26 anggota kontinjen negara bersama seorang lagi pelumba wanita, Nurazimah Rashid.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan tersebut tetapi saya berjanji akan memberi persembahan terbaik walaupun sedar ia bukan mudah untuk bersaing dengan pelumba dari negara Komanwel yang lain.

"Selain mencari pengalaman ia juga medan terbaik untuk membuktikan kemampuan saya dan di mana tahap saya sekarang baik dalam acara lebuh raya mahupun trek, peluang ini akan digunakan sebaik mungkin di sana nanti," katanya.

Selain Ju Pha dan Nurazimah, skuad basikal negara akan disertai oleh dua pelumba lelaki, Arfy Qhairant Amran dan Hamdan Hamidun di bawah kendalian jurulatih, Junaidi Nasir yang juga bekas pelumba trek negara.

No comments:

Post a Comment