Sinar Harian
16 Mei 2011
JOHOR BAHRU - Misi pasukan tinju sukan pelapis Johor akhirnya tercapai apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas, dua pingat perak dan empat gangsa dalam Karnival Sukan Pelapis Negeri Siri 1/2011 yang akan berakhir beberapa hari lagi.
Peserta yang berjaya merangkul pingat emas dalam sukan tinju ini adalah Mohd Zaidi Zulkifli bagi kategori bawah 16 tahun, 60 kilogram dan Mohd Izzat Ismat bagi 54 kilogram.
Pegawai Pembangunan Unit Prestasi Tinggi Negeri Johor, Zahari Zahar Yusof berkata, para peserta menunjukkan prestasi yang mantap dan para peserta juga telah menunjukkan usaha yang kuat dalam mencapai misi yang telah disasarkan bagi sukan itu.
Menurutnya, dua pingat emas diperoleh dalam perlawanan antara Pelapis Johor menentang atlet Pelapis Kelantan dan Pelapis Perak.
"Apa yang saya lihat, para peserta semakin matang dan serius untuk menjadi atlet peninju yang berjaya yang kerana mereka sentiasa memberikan komitmen yang baik dalam pertandingan yang dijalani.
"Seramai empat orang atlet yang layak, akan dipilih bagi menyertai Sukma Johor yang akan diadakan pada tahun depan dan beberapa perancangan telah diatur bagi mereka menyertai sukan tersebut," katanya.
Katanya, pihak pelapis Johor akan mencari lebih ramai atlet bagi mengembalikan era kegemilangannya di negeri Johor memandangkan sukan tinju ini amat berpotensi untuk diketengahkan.
"Tahniah saya ucapkan kepada para peserta yang berjaya menempah nama pada sukan tinju ini dan bagi peserta yang kurang bernasib baik, diharap tidak akan berputus asa dan meneruskan usaha bagi menjadi seorang atlet yang berjaya," katanya.
Perlawanan awal dijalankan pada 12 Mei 2011 hingga semalam bagi sukan tinju ini diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kota Bharu.
No comments:
Post a Comment