06/09/11
TIGA pingat tanpa mengira kilauan menjadi sasaran kontinjen negara di temasya Sukan Belia Komanwel keempat yang akan berlangsung di Isle of Man pada 8-12 September ini.
Sasaran yang diakui rendah oelh ketua kontinjen Rosmanizam Abdullah itu bagaimanapun dianggap paling ideal selepas atlet remaja bawah 19 tahun negara hanya akan menyertai empat acara sukan.
“Tuan rumah hanya menawarkan saingan dalam tujuh acara sukan dan kebanyakan sukan yang kita menang pingat sebelum ini tidak dipertandingkan,” kata Rosmanizam pada Majlis Penyerahan Bendera yang disampaikan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di ibu negara.
Empat acara sukan yang disertai kontinjen negara adalah badminton, berbasikal, renang dan olahraga manakala tiga lagi acara sukan yang dipertandingkan - tinju, gimnastik artistik (lelaki/wanita) dan ragbi - tidak membabitkan pemain negara.
“Kita sasarkan pingat menerusi badminton perseorangan lelaki dan beregu wanita selain mengharapkan keajaiban daripada atlet berbasikal,” kata Rosmanizam.
Juara Remaja Asia Zulfadli Zulkifli menjadi sandaran dalam perseorangan lelaki manakala gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean diharap mampu mencabar kehebatan beregu dari India dan England.
Satu pingat lagi diharap diperoleh atlet berbasikal negara Ju Pha Som Net dan Arfy Qairant Amran, namun cabaran agak sukar kerana temasya di Isle of Man hanya mempertandingkan acara lebuh raya.
Seramai 18 atlet menggalas cabaran negara di Isle of Man masing-masing lapan atlet dalam sukan badminton, empat berbasikal dan renang serta dua atlet olahraga.
Untuk rekod, penyertaan di temasya Edinburgh Scotland tahun 2000, kontinjen negara menang satu emas, tiga perak dan empat gangsa. Pada 2005 di Bendigo, Australia adalah pencapaian terbaik selepas atlet negara menang enam emas, sembilan perak dan tiga gangsa.
No comments:
Post a Comment