Thursday, September 29, 2011

Pelapis olahraga tunjuk belang

ARKIB : 18/08/2011

Pelapis olahraga tunjuk belang

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kecemerlangan atlet pelapis negara kian menyerlah apabila tiga atlet olahraga berjaya melepasi kelayakan ke Sukan SEA 2011 secara merit.

Tiga atlet tersebut ialah Ahmad Luth Hamizan dalam acara 300 meter lari berhalangan dan dua atlet 400m berpagar Mohd. Baihaqi Fazlan serta Muhammad Firdaus Mazalan.

Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pencapaian tiga atlet tersebut menjadi kebanggaan atlet pelapis yang lain kerana berupaya menempah tiket dalam kategori A.

"Mereka ini adalah atlet pelapis yang mempamer peningkatan positif. Jadi kita harap akan ada atlet pelapis yang lain layak secara merit.

"Ini juga menunjukkan bahawa program yang telah kita jalankan berupaya memberikan hasil positif," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Ahmad Luth berjaya melepasi kelayakan 9:27.21 saat dalam acara 300m lari berhalangan apabila memperoleh keputusan terbaik pada Kejohanan Olahraga Remaja Selangor 2011 pada April lalu dengan catatan 9:26.21s.

Manakala Mohd. Baihaqi mencatat 52.94s pada kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Singapura bulan lalu dan Muhammad Firdaus 53.24s pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan Perlis, mengatasi kelayakan 53.40s dalam acara 400m lari berhalangan.

Dalam pada itu, Jefri berkata, peluang untuk tiga atlet tersebut dinaikkan ke status elit cerah selepas menilai keupayaan melayakkan diri ke Sukan SEA.

"Kebiasaannya atlet pelapis yang beraksi pada Sukan SEA akan diserap menyertai program elit dan peluang tiga atlet ini tetap ada.

"Kita juga akan menilai untuk memberikan pendedahan kepada atlet pelapis yang berpotensi menyertai kejohanan antarabangsa supaya mereka dapat bersaing dengan atlet luar negara," jelas Jefri.

No comments:

Post a Comment