12/9/2011
Daripada TL ANG
SKUAD badminton negara bersama pingat yang dimenangi pada Sukan Belia Komanwel IV di Isle of Man, semalam.
DOUGLAS, Isle of Man - Sukan Belia Komanwel IV berakhir semalam dengan badminton menyumbangkan semua tujuh pingat buat kontinjen negara.
Empat emas, dua perak dan satu pingat gangsa yang dimenangi meletakkan Malaysia pad tangga kelapan senarai pungutan pingat.
Kedudukan ini juga memastikan Malaysia berkedudukan terbaik di kalangan negara Asia dengan India pada tangga kesembilan dengan tiga emas.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal-awal lagi menerusi setiausahanya, Ng Chin Chai mengumumkan senarai ke Isle of Man adalah yang terbaik sebagai persediaan ke saingan remaja dunia di Taipei awal November ini.
Zulfadli Zulkiffli (perseorangan lelaki) pasangan beregu lelaki Nelson Heg-Teo Ee Yi, beregu perempuan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran Ee Yi-Mei Kuan memastikan kedudukan terbaik untuk Malaysia. Perak menerusi beregu perempuan Sonia Cheah-Yang Li Lian serta gangsa melalui Nelson-Meng Yean.
Apa pun barisan pelumba basikal tidak bersedia untuk saingan dalam kesejukan. Laluan di Promenade dalam cuaca keterlaluan memaksa pelumba negara, baik perempuan mahupun lelaki mengharungi penyeksaan dan hari pertama pertarungan dalam ujian masa membuktikan penyesuaian memerlukan tanggungjawab awal.
''Pelumba kami berkemampuan dan jawapannya ialah penyesuaian awal,'' kata jurulatih Junaidi Nasir.
Arfy Qairant Amran, Hamdan Hamidun (lelaki), Nurul Nadia Fauzi dan Ju Pha Som Net berkeupayaan tinggi dan keputusan di Isle of Man adalah pengalaman baru untuk susulan kemajuan.
Dalam olahraga, Ali Ashraf Razali mengharungi saingan baik hingga ke babak akhir 110 meter lari berpagar dengan 14.06 saat dan bakatnya tidaklah hanya setakat Sukan SEA selepas ini.
No comments:
Post a Comment