Thursday, September 29, 2011

40,000 guru jadi jurulatih sukan – Utusan

14 SEP

40,000 guru jadi jurulatih sukan

Oleh OOI CHOON JOO
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 13 Sept. – Kira-kira 40,000 guru akan diberi latihan dan pendedahan untuk menjadi jurulatih sukan di semua peringkat persekolahan termasuk prasekolah dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, latihan itu penting supaya impian dasar 1Murid 1Sukan dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memberi latihan atau kursus kepada guru-guru yang terpilih di semua peringkat persekolahan.

“Kita akan melatih 40,000 guru untuk menjadi jurulatih bagi pelbagai jenis sukan yang akan bermula dari peringkat prasekolah dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Kindergym di Kompleks Sukan Negara di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Prof. Datuk Dr. Zakaria Ahmad dan Pengarah Kindergym, Niko Kau Git Kaur.

Ka Siong berkata, bukan semua guru pendidikan jasmani ialah jurulatih sukan kerana mereka tidak diberi latihan yang sistematik dalam bidang tersebut.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembukaan program Kindergym bertujuan melatih murid prasekolah untuk menjadi atlet pelapis negara pada masa depan.

“Menerusi program ini, semua murid yang terlibat akan diberi latihan asas dan pendedahan awal terhadap bidang sukan sebelum mereka dipilih mengikuti latihan dalam acara tertentu.

“Modul latihan ini telah digunakan oleh China di kesemua 12,058 prasekolah di negara itu dan kita akan membangunkan modul ini di Malaysia untuk mencungkil bakat pemain di peringkat prasekolah lagi,” katanya.

Tambah beliau, harapan kementerian supaya program itu dapat melahirkan lebih ramai atlet yang berkualiti dan pada masa sama dapat mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar.

No comments:

Post a Comment