Friday, August 5, 2011

‘Kita banyak pilihan’

Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

BIARPUN tanpa kehadiran Olahragawan 2010 negara, Azizulhasni Awang di Sukan Sea Palembang, Ketua Pengarah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong tetap yakin kemampuan barisan muda negara menyapu bersih pingat emas ditawarkan.

Lima emas disasarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) juga dilihat mampu digapai dengan mudah dengan jumlah itu pasti mampu ditambah.


Melihat kepada perkembangan skuad negara, Zolkples berkata, pendekatan yang digunakan iaitu menghantar ramai altet berlatih di luar negara seperti di Melbourne sudah menampakkan pulangan hasilnya.

“Pembangunan sukan berbasikal kita begitu berjaya. Kita mempunyai terlalu banyak pilihan. Begitu ramai pelumba pelapis. Sekarang ini harapan tidak lagi diletakkan kepada Azizulhasni Awang mahupun Josiah Ng saja. “Saya amat yakin, jumlah lima emas yang disasarkan itu pasti mampu ditambah oleh skuad trek negara tapi mungkin dalam acara lebuh raya ia dilihat sedikit sukar kerana tuan rumah akan membuat pelbagai cara yang memihak kepada mereka.” katanya. Beliau berkata, antara nama yang dikenal pasti terdiri daripada Rizal Tisin, Mohd Arfy Qhairant Amran, Mohd Fattah Amri Zaid dan beberapa nama lain termasuk pelumba wanita, Jupha Somnet (gambar). Sebanyak enam acara trek dipertandingkan di Sukan Sea, Palembang selepas dipersetujui oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) dan Konfederasi Basikal Asia (ACC).


Antara acara yang dipertandingkan untuk lelaki adalah 10km scratch, 4km kejar mengejar individu dan berpasukan, 40km perlumbaan mata, pecut individu dan omnium manakala acara wanita, pecut individu dan berpasukan, 5km scratch, 500m ujian masa, 25km perlumbaan mata dan omnium.


Zolkples turut memaklumkan, senarai pelumba yang akan beraksi di Sukan Sea sudah dikenal pasti oleh ketua jurulatih negara, John Beasley dengan nama pelumba terpilih akan diumumkan September ini.

“Pemilihan sudah buat. Mungkin akan ada beberapa penukaran di saat akhir nanti. Namun segala pemilihan termasuk menyenaraikan pelumba pelapis di Sukan Sea dipersetujui oleh Beasley,” katanya.

No comments:

Post a Comment