KUALA LUMPUR - Atlet angkat berat yang tidak berada dalam skuad elit atau pelapis negara, masih berpeluang mewakili Malaysia ke Sukan SEA di Indonesia November ini, jika mencatatkan rekod yang baik pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan Sirkit 2 bulan depan.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Zafarul Akbar Kassim berkata, PBAM mahu memberi peluang kepada atlet bukan pilihan beraksi pada temasya itu, meskipun senarai atlet yang bakal bertanding pada Sukan SEA telah siap.
Zafarul berkata, keputusan itu susulan beberapa atlet bukan pilihan yang membuat kejutan pada kejohanan sirkit pertama di Bangi, Selangor.
"PABM melihat ini satu perkembangan yang baik dan melalui penganjuran Sirkit 2 mungkin ada atlet yang layak diserapkan dalam skuad negara untuk bertanding pada Sukan SEA ke-26," katanya.
Zafarul berkata, Majlis Olimpik Malaysia juga membenarkan PABM menganjurkan Sirkit 2 sebagai kejohanan kelayakan ke Sukan SEA, yang harus diadakan sebelum 25 September iaitu tarikh akhir senarai atlet dihantar.
"PABM tidak mengira sama ada atlet tersebut adalah atlet elit ataupun atlet pelapis, sesiapa yang menunjukkan prestasi terbaik akan ada tempat dalam skuad kebangsaan," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment