TINDAKAN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang merancang menyenarai hanya pelumba pelapis untuk menyertai acara trek pada Sukan Sea 2011 di Indonesia jelas mengundang rasa gundah negara tuan rumah temasya dwitahunan itu.
Ketua Umum Ikatan Sepeda Sport Indonesia (ISSI) Phanny Tanjung khabarnya sudah bertemu Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab bagi menyuarakan keinginan mereka untuk melihat senarai nama pelumba besar seperti pemenang pingat emas Sukan Asia 2010 di Ghuangzhou, China; Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng yang merupakan pemenang pingat emas di Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.
Abu Samah menegaskan betapa ISSI dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea 2011 (Inasoc) sudah meminta PKBM agar memikir semula perancangan hanya menyenarai pelumba pelapis untuk menyertai acara trek yang bakal diadakan di Jakarta, Indonesia.
“ISSI menegaskan Indonesia sudah berkompromi dengan menyenaraikan enam acara baru termasuk 200 meter pecut. Mereka awalnya tidak menyenaraikan acara ini sehingga menerima teguran dan ancaman daripada Persekutuan Lumba Basikal Asia (ACC).
“Antara saranan awal tuan rumah ialah semua negara mesti menghantar pelumba terbaik dalam semua acara dipertandingkan. Indonesia tahu Malaysia mempunyai dua pelumba trek yang bertaraf dunia iaitu Azizulhasni dan Josiah.
“Namun kita juga ada pelumba trek yang baik dan juga bertaraf dunia seperti Mohd Rizal Tisin dan Mohd Edrus Md Yunos. Bagaimanapun terpulanglah kepada ketua jurulatih (John Beasley) untuk tentukan senarai pelumba ke Indonesia nanti,” katanya dalam satu kenyataan.
Abu Samah yang merupakan Delegasi Teknikal untuk acara basikal Sukan Sea 2011 lantikan ACC menegaskan Malaysia sentiasa memandang tinggi kualiti temasya dwitahunan tersebut dan permintaan ISSI serta Inasoc itu akan ditangani dengan penuh hemah.
No comments:
Post a Comment