Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Zolkples Embong
KUALA LUMPUR - Ketiadaan pelumba harapan seperti Azizulhasni Awang dan Josiah Ng langsung tidak merisaukan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai pungutan pingat daripada acara tersebut di Sukan SEA 2011.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong, acara berbasikal dijangka cemerlang memberi sumbangan pingat emas lebih daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu sebanyak lima pingat emas oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
"Ini membuktikan kita tidak hanya bergantung kepada Azizulhasni dan Josiah sahaja malah kita mempunyai pelumba muda berbakat seperti Mohd. Arfy Qhairant Amran yang perlu lebih banyak pendedahan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Jelasnya, bukan sahaja dalam acara trek, malah MSN juga diberi harapan tinggi oleh jurulatih lebuh raya, Graham Seers bahawa anak buahnya juga mampu untuk menyumbang pingat emas walaupun bakal mendapat tentangan sengit daripada pelumba tuan rumah.
"Graham ada bertemu saya dan menyatakan dia sangat yakin anak buahnya mampu menghadiahkan pingat emas buat Malaysia walaupun tuan rumah mempunyai kelebihan dari pelbagai faktor termasuk laluan.
"Apa yang dicakapkan oleh Graham itu ada memang betul kerana kita mempunyai pelumba muda dalam acara lebuh raya yang berpotensi termasuk Mohd. Adiq Hussainie Othman jadi saya percaya kita mampu meraih lebih daripada lima emas," katanya.
Bagaimanapun, Zolkples berkata, dia masih belum pasti sama ada ketua jurulatih negara, John Beasley akan membuat perubahan di saat akhir.
"Saya juga yakin dengan kemampuan mereka selepas diberi pendedahan yang banyak termasuk menjalani latihan di Melbourne, ia memberi impak yang besar kepada sukan berbasikal negara," katanya.
Enam acara akan diadakan di Sukan SEA 2011 selepas mendapat lampu hijau daripada Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) dan Konfederasi Basikal Asia (ACC).
Ia melibatkan acara untuk lelaki adalah 10km scratch, 4km kejar mengejar individu dan berpasukan, 40km perlumbaan mata, pecut individu dan omnium manakala acara wanita, pecut individu dan berpasukan, 5km scratch, 500m ujian masa, 25km perlumbaan mata dan omnium.
No comments:
Post a Comment