Wednesday, April 9, 2014

Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland : Enam atlet pelapis negara layak


Enam atlet pelapis negara layak

SERAMAI enam atlet pelapis kebangsaan layak untuk menyertai Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 3 Ogos depan.
Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, empat daripada atlet pelapis yang layak itu adalah wakil daripada sukan menembak, manakala dua lagi atlet adalah daripada sukan angkat berat.

"Kami telah menghantar atlet pelapis ke beberapa kejohanan untuk melayakkan mereka ke Sukan Komanwel. Daripada kejohanan itu, enam atlet negara telah beraksi dengan baik dan melepasi kelayakan yang seterusnya melayakkan mereka ke Sukan Komanwel 2014," katanya di Kuala Lumpur semalam.


Beliau berkata, atlet pelapis menembak, Mohd. Lufthi Othman layak ke Sukan Komanwel 2014 menerusi acara rifle pada Kejohanan Menembak Terbuka Selangor yang berlangsung Januari lalu.


Tiga lagi rakannya iaitu Siau Cuili, Zul Haziq Rosli dan Jasmi Mohd. Zain berjaya menempatkan diri menerusi Kejohanan Piala Tun Tan Siew Sin yang berlansung Februari lepas.


Bagi sukan angkat berat, Constantine Clement berjaya menempah tiket ke Sukan Komanwel 2014 menerusi Kejohanan Angkat Berat Asia ke-16 yang berlangsung di Bangsaen, Thailand pada awal Februari lalu.


Rakannya, Mohd. Hazril Huzairi Ramli pula berjaya melayakkan diri menerusi Kejohanan Angkat Berat Terbuka Kebangsaan, Februari lepas.


Jefri berkata, kejayaan keenam-enam atlet pelapis meraih tiket ke Sukan Komanwel itu berpontensi untuk menambah pungutan pingat pada temasya berprestij tersebut.


Sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2014, beliau berkata, kesemua enam atlet pelapis yang layak bersama empat pelapis lain akan menjalani latihan di Gunung Jerai, Kedah bermula esok sehingga 23 April.


"Selepas menjalani latihan di Gunung Jerai, kami akan ke Bandung, Indonesia untuk menjalani latihan selama sebulan bermula 10 Jun," katanya. - Bernama


No comments:

Post a Comment