Alyssa sambar tiket wildcard Terbuka Malaysia

Alyssa Boey (kanan) menunjukkan trofi Terbuka Malaysia
bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils pada
sidang akhbar di Kelab Golf Di Raja Selangor, Kuala Lumpur semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR - Pemain remaja negara, Alysa Boey menjadi
pilihan untuk beraksi atas tiket wildcard pada undian utama kejohanan tenis
Terbuka Malaysia BMW yang akan berlangsung dari 14 hingga 20 April ini.
Alyssa, 17, yang merupakan anggota Piala Fed Malaysia dan
pemain No. 1 negara, bukan saja bakal membuat penampilan sulung pada Terbuka
Malaysia, malah akan beraksi buat kali pertama dalam kejohanan Jelajah WTA
(Persatuan Tenis Wanita).
"Saya amat gembira diberi peluang beraksi buat kali
pertama pada Terbuka Malaysia dan lebih penting dalam Jelajah WTA.
"Ini pendedahan terbaik yang saya boleh peroleh di
peringkat ini. Saya sungguh teruja dapat berentap dengan pemain-pemain
profesional handalan dunia, dan ini merupakan pentas untuk menguji sejauh
manakah jurang di antara saya dengan mereka.
"Ia boleh dijadikan batu loncatan untuk perkembangan
karier saya selepas ini. Walaupun peluang untuk menang tipis, setidak-tidaknya
saya akan cuba memberi saingan sehebat mungkin kepada lawan," kata Alyssa
pada sidang akhbar di sini, semalam.
Edisi kelima kejohanan yang akan berlangsung di Kelab Golf
Diraja Selangor (RSGC) turut menampilkan bintang veteran Jepun yang merupakan
pemain tertua dalam Jelajah WTA, Kimiko Date-Kruum dan bintang Republik Czech,
Kristina Pliskova.
Kehadiran Kimiko, 43, pemenang pingat emas Sukan Asia 1994
dan juara Terbuka Korea 2009 serta Pliskova bakal memeriahkan lagi kejohanan
bernilai AS$250,000 (RM819,874) itu selepas beberapa pemain ternama seperti
bekas pemain No. 1 dunia, Venus Williams, naib juara Terbuka Australia,
Dominika Cibulkova dan penyandang juara, Karolina Pliskova antara yang terawal
mengesahkan kehadiran.
Ini bukan kali pertama Kimiko, pemain No. 98 dunia datang ke
ibu kota. Penampilan sulungnya pada 2011 menyaksikan dia tersingkir seawal
pusingan pertama.
Seperti Kimiko, Kristyna juga mempunyai matlamat yang sama.
Diletakkan sebagai pilihan kelapan tahun lalu, juara remaja Wimbledon 2010 itu
gagal menepati statusnya apabila tumpas di tangan pemain Kazakhstan, Zarina
Diyas pada pusingan pertama.
Kristyna bagaimanapun tidak meninggalkan Malaysia tanpa
kenangan manis. Bersama kakak kembarnya, Karolina, mereka melangkah ke separuh
akhir dalam saingan beregu. Pasangan adik-beradik itu tentunya menjadi antara
pilihan untuk menjuarai pertandingan beregu selepas memenangi gelaran sulung
mereka di Linz, Austria pada Oktober tahun lalu.
Cibulkova dan Williams masing-masing diletak sebagai pilihan
pertama dan kedua, diikuti Zhang Shuai serta Karolina sebagai pilihan ketiga
dan keempat.