27/08/2012
Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my
KONTINJEN berbasikal negara yang menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Remaja 2012 di Invercagill, New Zealand menamatkan saingan lima hari tanpa sebarang pingat sekali gus gagal mengulangi pencapaian 2010 apabila skuad negara membawa pulang satu pingat gangsa menerusi Adiq Husainie Othman.
Bagaimanapun saingan hari terakhir semalam menyaksikan pelumba wanita negara, Ummi Hamimah Mohamad berjaya memecahkan rekod peribadi dalam dua acara itu pecut individu dan juga 500m ujian masa wanita. Atlet kelahiran Terengganu yang membantu skuad Terengganu memenangi dua pingat emas di Sukan Malaysia Pahang itu menduduki ranking ke-10 daripada 15 pelumba yang bertanding dalam acara 500 ujian masa selepas melakarkan 37.727s.
Acara itu di ungguli pelumba Russia, Daria Shmeleva yang menewaskan pelumba Belanda, Elis Ligtlee manakala gangsa milik Lidia Pluzhnikova. Ummi berkata, dia memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi biarpun gagal memberikan pingat namun misi memecahkan rekod peribadi berjaya dilunaskan.
“Tamat sudah apa yang difokus dalam tempoh enam bulan ini. Saya gembira kerana berjaya melakarkan pencapaian peribadi terbaik saya. Apa yang penting sekarang ini saya perlu terus kekal fokus dan tidak sesekali putus asa untuk bergelar pelumba terbaik negara. “Ini adalah masanya untuk saya pulang ke kampung halaman dan berhari raya bersama keluarga selepas 1 Syawal yang lalu saya terpaksa memberi fokus untuk pertandingan ini,” katanya yang menduduki tempat ke-11 dalam acara keirin, semalam.
Sementara itu seorang lagi wakil negara, Malek Marcus McCrone yang turun beraksi dalam acara keirin menamatkan saingan di kedudukan ke-10 daripada 28 pelumba selepas gagal menempatkan diri dalam acara akhir. Malek menduduki tempat ketiga dalam penentuan tempat ke-7 hingga ke-12.
No comments:
Post a Comment